fbpx
Keindahan yang begitu mempesona di taman negara Jiuzhaigou di China.

Pesona Jiuzhaigou, keindahan alam yang memukau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM saya mula mengembara ke China, tanggapan saya terhadap negara itu agak negatif. Namun, segalanya mula berubah selepas saya diperkenalkan kepada seorang Muslim berbangsa Cina di Kunming, wilayah Yunnan satu ketika dahulu.

Melalui perkenalan tersebut, saya mula mengenali Yunnan sebagai sebuah wilayah yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, pemandangan yang memukau serta kepelbagaian budaya, tradisi dan sejarah yang unik.

Pengalaman itu benar-benar mengubah perspektif saya terhadap China, malah membuatkan saya semakin teruja untuk meneroka wilayah-wilayah lain di negara itu.

Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah menyangka bahawa sebagai graduan lepasan undang-undang, saya akhirnya akan melangkah ke industri pelancongan bersama keluarga.

Namun, begitulah aturan Allah yang menemukan saya dengan peluang dan pengalaman di luar jangkaan.

Selepas Yunnan meninggalkan kesan yang begitu mendalam, kali ini saya berpeluang menjejakkan kaki ke wilayah Sichuan untuk menerokai Jiuzhaigou National Park, sebuah destinasi yang menjanjikan keindahan alam semula jadi dengan pesonanya yang tersendiri.

Jika selama ini China sering dikaitkan dengan bandar-bandar besar seperti Shanghai dan Beijing, Jiuzhaigou memperlihatkan sisi berbeza negara tersebut.

Di sini, tumpuan bukan lagi pada bangunan pencakar langit atau kesibukan kota, sebaliknya pada keindahan tasik berwarna biru, air terjun dan pergunungan yang terbentang luas.

Tasik yang berwarna biru jernih dan hijau zamrud menjadikan pemandangan begitu istimewa.

Perkara yang paling menarik tentang Jiuzhaigou ialah warna tasiknya. Airnya mempamerkan rona biru jernih dan hijau zamrud dengan pantulan hutan serta pergunungan yang menjadikan pemandangannya begitu istimewa.

Keunikan warna tersebut dipengaruhi oleh faktor semula jadi termasuk kandungan mineral, kejernihan air dan struktur geologi kawasan berkenaan.

Dari sudut geografi, Jiuzhaigou National Park terletak di kawasan pergunungan Minshan, dalam zon peralihan antara Dataran Tinggi Qinghai-Tibet (Qinghai-Tibet Plateau) dengan Lembangan Sichuan (Sichuan Basin).

Pada ketinggian sekitar 2,000 hingga 4,700 meter dari aras laut, taman negara ini menampilkan formasi geologi yang unik, termasuk tasik yang terbentuk hasil aktiviti glasier purba, lembah pergunungan dan sistem air terjun yang saling berhubung.

Sebagai seorang pencipta kandungan digital, saya merasakan destinasi seperti Jiuzhaigou wajar diberikan lebih banyak perhatian, khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Keindahan alam semula jadinya menawarkan pengalaman yang sukar ditemukan di negara kita. Malah, kita tidak semestinya perlu merentasi benua dan menghabiskan belasan jam dalam penerbangan ke negara-negara Barat untuk menikmati panorama alam bertaraf dunia, sedangkan keindahan sebegini boleh diterokai di China.

Percutian bersama keluarga di Jiuzhaigou di wilayah Sichuan begitu bermakna.

Keistimewaan lain Jiuzhaigou ialah perubahan landskapnya mengikut musim. Musim luruh sering menjadi tarikan apabila dedaunan bertukar menjadi rona kuning, jingga dan merah, sekali gus menghasilkan kontras yang menarik dengan air tasik yang kebiruan.

Ketika musim sejuk pula, sesetengah kawasan diselimuti salji dan ais sekali gus memberikan suasana yang berbeza.

Tidak hairanlah Jiuzhaigou diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1992. Selain keindahan alam semula jadinya, kawasan ini turut kaya dengan biodiversiti serta mempunyai hubungan budaya yang erat dengan masyarakat Tibet yang menetap di kawasan sekitarnya.

Bagi pengembara Malaysia yang merancang untuk meneroka Wilayah Sichuan, perjalanan ke kawasan ini boleh merangkumi beberapa destinasi yang menampilkan keunikan tersendiri.

Antaranya ialah Chengdu, Jiuzhaigou, Bipenggou, Siguniang dan Dujiangyan yang menawarkan gabungan landskap pergunungan, keindahan alam semula jadi serta warisan budaya.

Kesemua destinasi ini turut terangkum dalam itinerari perjalanan sembilan hari tujuh malam yang saya ambil bersama Wajba Travel & Tours Sdn. Bhd.

Bagi saya, menjelajahi sesebuah negara tidak seharusnya terhad kepada destinasi yang paling popular.

Kadangkala, tempat yang jauh daripada kesibukan bandar menawarkan perspektif baharu tentang negara yang kita kunjungi. Jiuzhaigou merupakan antara destinasi yang memperlihatkan sisi China tersebut.

Keindahan alamnya memberikan sebab tersendiri untuk pengembara meneroka wilayah yang mungkin belum tersenarai sebagai destinasi pilihan utama mereka.

Jika anda merancang perjalanan ke China, pertimbangkan Wilayah Sichuan sebagai sebahagian daripada pengembaraan anda. China bukan sekadar tentang bandar-bandar besar dan mercu tanda bersejarah, tetapi juga

khazanah alam semula jadi yang menjadikan pengalaman mengembara ke negara itu lebih bermakna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN