PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dikurniakan darjah kebesaran tertinggi Kerajaan Hasyimiah Jordan, The Collar of Hussein Ibn Ali, oleh Raja Abdullah II sempena lawatan negara ke Malaysia hari ini.
Menerusi perkongsian Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu berlangsung di Istana Negara ketika pertemuan Sultan Ibrahim dan Raja Abdullah II bersama delegasi Malaysia serta Jordan, hari ini.
“Darjah The Collar of Hussein Ibn Ali diwujudkan menerusi titah diraja Jordan pada 22 Jun 1949.
“Darjah berkenaan dikurniakan kepada raja-raja, ketua negara dan ketua kerajaan yang mendapat perkenan Raja Jordan,” menurut kenyataan itu.
Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) kepada Raja Abdullah II sebagai tanda penghormatan serta usaha memperkukuh hubungan persahabatan antara kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE














