KUALA LUMPUR – Kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kepada RM16 bilion pada tahun depan berbanding RM15 bilion tahun ini.
Menerusi penambahbaikan itu, semua penerima STR akan menerima Sara sehingga RM150 sebulan atau maksimum RM1,800 setahun yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga sembilan juta penerima.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut memperluaskan bantuan Sara kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR.
“Sukacita diumumkan, peruntukan STR dan Sara 2027 ditingkatkan kepada RM16 bilion, ketimbang RM15 bilion.
“Semua penerima STR akan menerima Sara sehingga RM150 sebulan atau sehingga RM1,800 setahun. Ini akan memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima STR,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, rakyat berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR pula akan menerima Sara Madani sebanyak RM100 sebanyak dua kali pada tahun depan.
Katanya, bayaran berkenaan akan diberikan sebelum sambutan Aidilfitri dan sekali lagi menjelang ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara, sekali gus memberi manfaat kepada sehingga 13 juta rakyat termasuk golongan M40.
“Manakala selain penerima STR yang berumur 18 tahun ke atas, akan menerima Sara Madani RM100 sebanyak dua kali iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang tujuh dasawarsa Merdeka.
“Ini akan memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan turut bersetuju memperluaskan penggunaan Sara bagi pembelian barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
Setakat ini, terdapat kira-kira 15,000 premis rakan niaga SARA termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi.
Anwar berkata, kerajaan menyasarkan jumlah kedai runcit kecil yang mengambil bahagian dalam pelaksanaan SARA ditingkatkan kepada 10,000 premis sebelum akhir tahun ini.– KOSMO! ONLINE














