KAWASAN Hutan Simpan Bukit Ibam yang menjadi lokasi perlombongan emas secara haram di Rompin.

9 Orang Asli ditahan melombong emas dalam Hutan Simpan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ROMPIN – Sembilan Orang Asli ditahan kerana disyaki melakukan perlombongan emas secara haram di Kompartmen 152 dan 153 Hutan Simpan Bukit Ibam di sini semalam.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang memaklumkan, tangkapan melibatkan tujuh lelaki dan dua wanita itu dilakukan dalam serbuan yang dilakukan hasil aduan awam.

“Pemeriksaan di lapangan menemukan beberapa lubang yang dipercayai digali bagi tujuan mendapatkan emas dengan kedalaman dianggarkan antara dua hingga tiga meter menggunakan peralatan seperti cangkul.

“Beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan turut disita, antaranya cangkul, mesin pam air yang telah diubah suai serta kuali dan pasukan turut mengambil koordinat lokasi lubang-lubang yang ditemukan bagi tujuan dokumentasi, pemetaan dan siasatan lanjut,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan dibawa ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Rompin untuk siasatan lanjut oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 47 (1) Enakmen Perhutanan Negara 1986 kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran, Seksyen 81 (1) (e) Enakmen Perhutanan Negara kerana membersih atau membajak mana-mana tanah dalam hutan simpanan kekal untuk tanaman atau apa-apa maksud lain dan Seksyen 81 (1) (g) Enakmen Perhutanan Negara kerana menceroboh hutan simpanan kekal.

Beliau memberitahu, berdasarkan semakan penguat kuasa di lapangan mendapati kawasan aktiviti perlombongan tanpa kebenaran itu berkeluasan kira-kira 1.62 hektar.

“Anggaran kerugian kawasan yang diceroboh tersebut bernilai lebih kurang RM24,300 dengan mengambil kira asas pemulihan kawasan hutan tersebut.

“Pejabat Hutan Daerah Rompin akan meneruskan pemantauan dan tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN