MANCHESTER – Manchester United menerima tamparan hebat apabila Noussair Mazraoui mengalami kecederaan serius ketika membantu Maghribi menewaskan Lesotho 2-0 dalam kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, pertahanan berusia 28 tahun itu tidak mampu meneruskan permainan selepas bertembung dengan pemain tengah Lesotho, Neo Mokhachane pada babak kedua.
Mazraoui terjatuh dan dilihat memegang bahagian belakang badannya sebelum memberi isyarat kepada bangku simpanan bahawa dia tidak mampu meneruskan aksi sebelum digantikan Achraf Hakimi.
Bagaimanapun, jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi enggan memberikan perkembangan mengenai status Mazraoui sama ada kekal bersama skuad kebangsaan atau dihantar pulang ke Manchester.
Situasi ini pastinya mencetuskan kebimbangan skuad kendalian Michael Carrick yang sudah menerima banyak berita negatif mengenai pemain The Red Devils di pentas antarabangsa.
Terdahulu, Kobbie Mainoo dan Marcus Rashford turut menarik diri daripada tugasan England selepas mengalami kecederaan ringan bulan lalu.
Selain itu, Patrick Dorgu turut dipanggil pulang ke United selepas mengalami kecederaan hamstring ketika membantu Denmark menewaskan Wales dan dijangka berehat beberapa minggu. – AGENSI
















