KUALA TERENGGANU – Pendekatan menggabungkan elemen sains dan warisan budaya dilihat mampu menjadi medium berkesan untuk mendekatkan generasi muda dengan tradisi masyarakat setempat.
Usaha itu diterjemahkan menerusi penganjuran program Pencerapan Bulan dan Pesta Tanglung anjuran Persatuan Huang Terengganu yang berlangsung sehari di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini.
Pengerusi Persatuan Huang Terengganu, Wee Pit Beng berkata, pendekatan berbeza itu digunakan bagi menarik minat golongan muda, khususnya pelajar sekolah untuk mengenali warisan budaya serta susur galur mereka.
“Pendekatan berbeza pada tahun ini adalah dengan menggunakan elemen sains sebagai medium untuk mendekati generasi muda dalam usaha memperkenalkan mereka kepada warisan budaya dan susur galur mereka sendiri.
“Sebagai contoh, tanglung merupakan antara simbol penting dalam kebudayaan kami, namun di sebaliknya terdapat pelbagai aspek sains yang menarik untuk diterokai bersama.
“Begitu juga dengan aktiviti pencerapan bulan yang mempunyai hubungan rapat dengan tradisi masyarakat Cina dan boleh dijelaskan melalui perspektif saintifik,” katanya.
Menurutnya, program sama tahun lalu dianjurkan pada skala lebih kecil dan kebanyakannya hanya diketahui dalam kalangan komuniti setempat di Kampung Cina, Kuala Terengganu.
Katanya, penganjuran di PSKT tahun ini memberi nilai tambah apabila membuka peluang kepada masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang untuk mengenali serta memahami budaya masyarakat Cina dengan lebih dekat.
“Program ini bukan sahaja bertujuan memelihara warisan kebudayaan masyarakat Cina di Terengganu, malah menjadi platform memperkukuh hubungan antara kaum menerusi perkongsian nilai, tradisi dan pengalaman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PSKT, Hilman Hajijan berkata, penganjuran program berkenaan membuktikan pusat sains berkenaan bukan hanya tertumpu kepada bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
“Penganjuran ini membuktikan bahawa pusat sains di sini bukan hanya tempat untuk mempelajari STEM semata-mata, malah mampu menjadi ruang yang menghubungkan ilmu pengetahuan dengan warisan budaya serta nilai masyarakat yang perlu terus dipelihara dan diraikan bersama.
“Kami sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai inisiatif yang mampu memberi manfaat kepada komuniti,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutup program berkenaan.
Program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sejak awal pagi termasuk pertandingan Pesona Cilik Fesyen Cina, pertandingan memasak Citarasa Mek Awang, sesi merasa kuih bulan dan persembahan kesenian.
Acara perarakan tanglung dan aktiviti pencerapan bulan menjadi antara pengisian utama yang menarik penyertaan masyarakat berbilang usia bersama keluarga masing-masing. – KOSMO! ONLINE














