Mayat pelajar lelaki tingkatan dua yang disahkan meninggal dunia selepas ditemukan pengsan di asrama sekolah di bawa ke HTJ dari Zon Kritikal, HTAN bagi proses bedah siasat. Foto NOR AINNA HAMZAH

Pelajar ditemukan tidak sedarkan diri di asrama, meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PILAH – Seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah sukan di daerah ini ditemukan tidak sedarkan diri dalam kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), malam tadi.

Sumber berkata, mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik berasal dari Gemencheh, didakwa meninggal dunia disebabkan buli.

“Itu berdasarkan maklumat yang saya peroleh, mangsa ditemukan pengsan di asrama lalu kejadian itu dimaklumkan kepada warden. Pihak asrama seterusnya membawa mangsa ke wad kecemasan HTAN bagi rawatan lanjut,” katanya

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan,” kepada Kosmo, di sini, awal pagi tadi.

Seorang sepupu mangsa memaklumkan, mangsa sememangnya aktif dalam sukan dan masuk ke sekolah berkenaan susulan kecemerlangan dalam sukan bola baling.

Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di HTAN mendapati ibu mangsa yang kelihatan sugul dilihat ditolak keluar dari Zon Kritikal HTAN menggunakan kerusi roda.

Kelihatan ibu mangsa yang sugul susulan kejadian menimpa anak sulungnya itu. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH

Turut kelihatan, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh, Suhaimizan Bizar dan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar hadir menziarahi keluarga mangsa.

Adnan berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada pihak polis lalu bergegas ke hospital untuk melihat keadaan mangsa.

“Saya dimaklumkan kejadian ini melibatkan pelajar tingkatan dua dan polis sedang menjalankan siasatan. Guru mangsa memaklumkan mangsa merupakan pelajar yang aktif dalam sukan memanah di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes kini masih dalam siasatan.

“Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban,” katanya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN