BOLA sepak Asia bakal menyaksikan lebih banyak ruang kepimpinan dibuka kepada golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi kerjasama strategik antara ShekhinahPR dan organisasi antarabangsa, Integrated Dreams semalam.
Kerjasama yang dimeterai pada World Football Summit di Madrid, Sepanyol itu akan menyaksikan ShekhinahPR menyelaras serta mengetuai program bola sepak Integrated Dreams di Asia, bermula dengan inisiatif di Malaysia, Thailand dan Indonesia pada tahun depan
Ketua Pegawai Operasi ShekhinahPR, Datuk Christopher Raj berkata, program berkenaan membawa mesej jelas bahawa golongan OKU bukan sekadar penerima manfaat, sebaliknya mampu memainkan peranan penting dalam industri sukan.
“Bagi saya, ia merupakan satu penghormatan besar buat sebuah syarikat dari Malaysia untuk diberikan peluang menjalinkan kerjasama strategik dengan organisasi yang begitu dihormati dan berteraskan misi seperti Integrated Dreams.
“Kami tidak sabar untuk merealisasikan visi ini di Malaysia dan seluruh rantau ini. Bola sepak adalah untuk semua. Tiada siapa yang seharusnya ketinggalan.
“Tidak kira apa jua keupayaan seseorang, setiap individu harus diberikan peluang untuk merasai pengalaman dalam bola sepak, belajar, memimpin dan menyumbang,” katanya.
Program yang mendapat sokongan FIFA Foundation itu sebelum ini memberi latihan kepimpinan, bola sepak dan industri sukan kepada 40 peserta OKU dari seluruh rantau Asia. – KOSMO! ONLINE
















