fbpx
Antara bot yang menyertai Pertandingan Bot Berhias sempena Sambutan Hari Malaysia di Sungai Kerang, Bukit Gantang hari ini.

Bot berhias meriahkan Sambutan Hari Malaysia di Bukit Gantang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT GANTANG – Program Perarakan dan Pertandingan Bot Berhias sempena Sambutan Hari Malaysia anjuran Parlimen Bukit Gantang yang dilaksanakan sejak lima tahun lalu memberi impak positif terhadap sektor agropelancongan di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, sebagai contoh, ia dapat dilihat apabila kelong ikan dan calet terapung di Sungai Kerang di sini meningkat dari dua buah kepada kira-kira 20 buah ketika ini.

“Apabila tempat ini semakin dikenali menerusi penganjuran program sedemikian, ia menarik kehadiran pelancong seperti golongan pemancing ke kawasan ini. Bahkan, restoran-restoran yang diusahakan warga Bukit Gantang juga menerima limpahan ekonomi apabila mereka dikunjungi pelancong,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Sungai Kerang di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis pelepasan Pertandingan Bot Berhias Sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di sini.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, pertandingan kali ini menarik penyertaan daripada 206 nelayan Bukit Gantang, yang mana ia merupakan peningkatan sekali ganda berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 130 peserta.

Sementara itu, seorang peserta pertandingan berkenaan, Lim Siew Cheen, 41, berkata, tahun ini merupakan penyertaan kali kedua bagi pertandingan tersebut.

“Anak saya yang berusia 11 dan 7 tahun begitu bersemangat untuk menyertai pertandingan ini. Seawal pukul 6.30 pagi mereka telah bangun kerana begitu teruja untuk berarak dengan bot-bot lain.

“Mereka juga turut sama menghias bot kami. Bagi mereka, tak apa sekiranya tak menang kerana keterujaan untuk menghias bot dan berarak bersama-sama komuniti nelayan lain lebih bermakna,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN