fbpx
Gambar hiasan.

Wanita mengaku salah jual bayi RM17,300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang wanita mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pilihan mengambil bahagian dalam transaksi memberikan kawalan secara tetap terhadap bayi dengan balasan wang RM17,300, bulan lalu.

Tertuduh, S. Kelsey, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Wanita itu didakwa mengambil bahagian dalam transaksi bertujuan memberikan kawalan secara tetap terhadap bayi berusia 12 hari dengan balasan wang RM17,300 di sebuah hospital swasta di sini pada pukul 7.30 pagi, 18 Ogos hingga 1.30 pagi, 21 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, Kelsey didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam RSN Rayer memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi mendapatkan fakta kes dan jatuh hukum, selain merayu jaminan yang rendah kerana anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap selain perlu menyara keluarga.

Rayer turut memohon mahkamah memberikan ruang kepada anak guamnya berikutan keadaannya yang lesu selepas ditahan tiga hari selepas melahirkan anak pada bulan lepas.

Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku bersalah memiliki kad pengenalan orang lain berusia 33 tahun bulan lalu dan kes didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi membenarkan wanita itu diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula dan jatuh hukum. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN