NOR ketika ditemui selepas Majlis PBSL Madani Yakin Kepulangan Yang Dinanti Sempena Kemerdekaan Negara Malaysia Ke-69 Peringkat Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2026 di Penjara Sungai Udang, Melaka, hari ini.

Lahir anak dalam penjara, ibu nekad tebus kesilapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang banduan wanita yang terpilih mengikuti Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) meluahkan rasa syukur, apatah lagi mengenangkan pengalaman melahirkan bayi ketika menjalani hukuman penjara.

Nor, 32, berkata, detik hitam itu menjadi titik perubahan dalam hidupnya selepas menyedari kesilapan yang dilakukan sehingga terjebak dalam kesalahan pengedaran dadah.

Menurutnya, dia ditahan kali pertama pada November 2023 ketika sedang hamil tiga bulan sebelum sekali lagi ditahan tahun lalu atas kesalahan sama dan dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun.

“Ketika ditangkap, saya sedang mengandung tiga bulan dan pengalaman melahirkan anak merupakan pengalaman pahit dalam hidup saya.

“Saya tidak mahu perkara ini berulang lagi, saya serik, insaf dan mahu berubah demi anak-anak. Saya kasihan kepada anak, terutama anak bongsu saya dan mahu dia membesar seperti kanak-kanak lain, bersama adik-beradiknya di luar yang berusia 15, 11, sembilan dan enam tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis PBSL Madani Yakin Kepulangan Yang Dinanti Sempena Kemerdekaan Negara Malaysia Ke-69 Peringkat Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2026 di Penjara Sungai Udang, di sini hari ini.

Nor antara 49 prospek yang terpilih menerima PBSL yang disempurnakan Pengarah Penjara Negeri Melaka, Khairik Nizam Anuar.

Jelasnya, bayi lelaki yang dilahirkan ketika berada dalam tahanan itu kini berusia tiga bulan dan merupakan anak ketujuhnya termasuk dua lagi kandungan yang tidak dapat diselamatkan sebelum ini.

Akuinya, dia sudah lama terlibat dengan pengedaran dadah secara dalam talian gara-gara ingin mendapatkan wang dengan mudah.

“Ketika itu saya fikir cara itu mudah untuk dapatkan wang dan pernah boleh mencecah RM1,000 sehari.

“Tetapi selepas berada dalam penjara, lebih-lebih lagi ketika mengandung dan melalui pengalaman melahirkan anak, saya mula fikir tentang masa depan anak-anak dan mahu berubah,” katanya.

Tambah wanita dari Jempol, Negeri Sembilan itu, dia bagaimanapun bersyukur apabila diberi peluang kembali bersama keluarga menerusi PBSL kerana mahu membesarkan anak bongsunya di luar penjara.

Katanya, pengalaman yang dilalui sepanjang berada dalam penjara menjadi pengajaran besar buat dirinya dan berharap tidak akan mengulangi kesilapan sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN