Kekal aktif dalam dunia lakonan, Yusuf Bahrin mengembangkan sayap dalam bidang perniagaan apabila menceburi industri makanan dan minuman.

‘Dekat dengan semua orang’ – Yusuf Bahrin kini pengusaha piza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Yusuf Bahrin mengembangkan sayap dalam bidang perniagaan apabila menceburi industri makanan dan minuman (F&B) menerusi pembukaan restoran miliknya, Bite Club.

Restoran yang mula beroperasi secara rasmi pada 7 November lalu itu mengetengahkan burger dan piza sebagai menu utama, selain menawarkan konsep ruang santai untuk pengunjung berkumpul dan meluangkan masa bersama.

Menurut Yusuf, idea membuka Bite Club tercetus daripada minatnya terhadap makanan yang menjadi pilihan ramai, khususnya burger dan piza.

“Saya melihat burger dan piza sebagai antara makanan yang dekat dengan semua orang dan menjadi pilihan ramai. Jadi, saya terfikir untuk mewujudkan sebuah tempat yang bukan sahaja menawarkan makanan, tetapi juga ruang untuk orang ramai berkumpul, berehat dan meluangkan masa bersama.

“Bagi saya, Bite Club lebih daripada sekadar tempat makan. Saya mahu ia menjadi lokasi yang menyeronokkan untuk mereka berjumpa kawan-kawan, mengadakan reunion atau sekadar melepak dan mencipta kenangan bersama,” katanya.

Mengulas lanjut, Yusuf berkata, Bite Club turut mengutamakan suasana santai dan kasual bagi membolehkan pengunjung menikmati masa berkualiti bersama keluarga serta rakan-rakan.

Dalam pada itu, pelakon tersebut menyifatkan pembukaan Bite Club sebagai satu permulaan baharu dalam perjalanan kerjayanya, khususnya dalam meneroka bidang perniagaan di luar dunia seni.

“Saya berharap usaha ini dapat berkembang secara positif, sekali gus menjadikan Bite Club sebagai antara ruang pilihan masyarakat untuk menikmati makanan dan mengeratkan hubungan sesama mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN