Ab Ghani (kanan) menghadiri Mesyuarat Exco FAM bagi penggal 2025-2029 di Wisma FAM, hari ini.

FAM mohon maaf isu pemain warisan palsu, mahu bertemu Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penyokong bola sepak negara susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan yang menggemparkan negara tahun lalu.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, permohonan maaf itu dibuat secara ikhlas bagi pihak FAM serta Jawatankuasa Eksekutif (Exco) baharu yang dilantik pada 17 September lepas.

Menurut Ab Ghani, pihaknya akan memastikan segala urusan dokumentasi terhadap pemain skuad kebangsaan akan dilaksanakan dengan lebih teliti selepas ini.

“Saya mewakili kesemua Exco FAM pada hari ini memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia atas isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang berlaku tahun lalu

“Justeru itu, saya memberikan komitmen sepanjang tempoh menerajui FAM, perkara isu seumpama ini tidak akan dibiarkan berulang lagi,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Ab Ghani mengesahkan akan bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mendapatkan perkembangan mengenai status pasport tujuh pemain warisan terbabit.

“Perkara berkaitan kewarganegaraan dan pengeluaran pasport adalah di luar bidang kuasa FAM.

“Jadi, kami semua akan mendapatkan penjelasan dan kerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.

Sebagai rekod, FAM terpalit dengan isu pemalsuan dokumen pada tahun lalu melibatkan tujuh pemain warisan luar negara Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal, dan Hector Hevel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN