AKSI beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, ketika menentang wakil India pada aksi suku akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, hari ini. Foto BERNAMA

Sukan Asia: Pearly-Thinaah tamat penantian 12 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AICHI – Penantian 12 tahun Malaysia untuk kembali meraih pingat beregu wanita Sukan Asia akhirnya ditamatkan Pearly Tan-M. Thinaah selepas mengesahkan sekurang-kurangnya gangsa pada temasya Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Beregu No. 5 dunia itu memastikan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan India, Gayatri Gopichand-Treesa Jolly 21-18, 21-9 dalam tempoh 42 minit pada aksi suku akhir.

Kejayaan tersebut menyaksikan Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita Malaysia pertama menaiki podium Sukan Asia sejak Vivian Hoo-Woon Khe Wei membawa pulang gangsa pada edisi Incheon 2014.

Bagaimanapun, Pearly-Thinaah belum mahu berpuas hati dengan sekadar gangsa apabila kini mengintai tempat ke final, namun perlu melepasi ujian getir menentang beregu No. 1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada separuh akhir, esok.

Berdasarkan rekod pertemuan, pasangan negara bermula sebagai bukan pilihan apabila hanya memenangi tiga daripada 13 pertemuan menentang Sheng Shu-Tan Ning, termasuk tewas kepada gandingan China itu pada final Kejohanan Dunia tahun lalu.

Ketika Pearly-Thinaah memastikan pingat dalam beregu wanita, nasib berbeza menimpa Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang terlepas peluang menaiki podium selepas terkandas pada suku akhir beregu lelaki.

Pasangan No. 6 dunia itu gagal menyaingi pemenang pingat perak Olimpik Paris 2024 dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang sebelum akur tewas 13-21, 17-21 di Gimnasium Perbandaran Bandar Ichinomiya.

Kekalahan Sze Fei-Nur Izzuddin menyaksikan cabaran Malaysia dalam beregu lelaki berakhir selepas Aaron Chia-Tee Kai Wun turut tersingkir pada pusingan kedua sehari sebelumnya.

Keputusan itu juga menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian gangsa beregu lelaki edisi Hangzhou 2022 yang disumbangkan Aaron-Soh Wooi Yik, namun kem badminton negara masih mempunyai Pearly-Thinaah untuk meneruskan pemburuan ke final di Aichi-Nagoya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN