NAIB Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Datuk Seri Rosmadi Ismail yakin gabungan kepimpinan baharu mampu perbaiki kelemahan yang sebelum ini membelenggu badan induk bola sepak negara itu.
Menurut Rosmadi, segala teguran yang dikemukakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini perlu dijadikan panduan bagi memperkemaskan pentadbiran FAM serta memastikan kesilapan sama tidak berulang.
“Bagi saya kelemahan itu boleh kita perbaiki, terutamanya kekhilafan yang berlaku seperti yang semua kita tahu, teguran ataupun dapatan daripada AFC dalam mesyuarat EGM yang lepas.
“Saya amat yakin dengan gabungan kepimpinan yang ada, dengan sekretariat yang berpengalaman, yang kuat, kita dapat memperbaiki lagi,” katanya selepas Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026, hari ini.
Mengulas lanjut, Rosmadi percaya teguran daripada pihak luar amat penting kerana terdapat kelemahan tertentu yang mungkin gagal dikesan oleh kepimpinan sendiri.
“Saya sebenarnya amat bersyukur dengan apa yang telah berlaku kerana kita dapat melihat macam Datuk Ab Ghani Hassan cakap, kadang-kadang kita sebagai pemimpin, kita tak tahu apa kelemahan kita.
“Orang yang kena tegur, orang yang memberi pandangan. Jadi saya jangka pasukan hari ini adalah pasukan yang saya rasa sesuai untuk kita memperbaiki apa yang telah kita bincangkan tadi.
“Iaitu cabaran yang harus pasukan kita hadapi dalam masa dua tahun setengah ini untuk kita membetul dan menambah baik pentadbiran FAM dan juga prestasi pasukan kebangsaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















