fbpx
ANGGOTA penyelamat mengusung beg mayat yang mengandungi jenazah mangsa kapal penumpang Virgo Transport 8, yang karam semalam. - AFP

Indonesia kerah penyelam cari mangsa kapal karam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Pasukan penyelamat Indonesia melancarkan operasi pencarian lebih 100 orang yang masih hilang selepas sebuah kapal penumpang  karam di lautan bergelora di Laut Jawa. 

Kapal  Virgo Transport 8, yang disahkan hilang oleh pihak berkuasa membawa 213 penumpang dan 30 anak kapal, terputus hubungan dengan syarikat perkapalannya awal pagi, semalam selepas berlepas dari Surabaya, bandar kedua terbesar di Indonesia yang terletak di Jawa Timur.

Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Mohammad Syafii berkata, pesawat, kapal tentera laut, dan penyelam telah dikerahkan bagi mengesan mangsa yang terselamat.

Menurutnya, sejak semalam enam orang disahkan terkorban manakala 129 lagi masih hilang.

Sekurang-kurangnya 108 yang lain telah berjaya diselamatkan.

“Lima pesawat dan 17 kapal, termasuk kapal perang tentera laut, telah dikerahkan untuk membantu operasi pencarian yang difokuskan di kawasan sekitar feri yang karam itu.

“Kami akan memaksimalkan operasi pencarian di enam sektor yang telah dibahagikan dengan memberi keutamaan kepada pencarian mangsa yang terapung.

“Semoga kita dapat menemui mangsa-mangsa dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau menambah bahawa penyelam dan dron dalam air akan dikerahkan untuk mencari mangsa di dalam dan sekitar bangkai kapal yang telah ditemui oleh pasukan penyelamat. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN