KUALA KANGSAR – Kerajaan negeri akan meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian untuk disalurkan kepada keluarga tiga beranak yang maut dalam nahas membabitkan lori imigresen di ibu negara minggu lalu.
Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan kunjungan susulan bagi mengenal pasti keperluan keluarga tersebut.
Katanya, antara bantuan yang boleh dipertimbangkan termasuk sokongan psikososial dan bantuan bulanan bagi membantu keluarga mangsa meneruskan kehidupan selepas kehilangan ketua keluarga, Shaik Mohd. Firdaus Shaikh Yahya, 53.
“Melalui JKM, kita akan memberikan sokongan psikososial termasuk khidmat kaunseling dan bantuan berkaitan. Saya difahamkan ibu mangsa masih dirawat di hospital.
“Jadi, JKM akan mengadakan kunjungan susulan bagi melihat keperluan keluarga itu khususnya sokongan moral,” katanya ketika ditemui pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, Shaik Mohd. Firdaus yang sedang berjalan bersama dua anaknya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, maut selepas dirempuh lori milik Jabatan Imigresen dalam nahas turut membabitkan dua kenderaan lain.
Isteri Shaik Mohd. Firdaus, Norhayati Razali, 55, yang turut terlibat dalam nahas itu dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Salbiah berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permintaan daripada keluarga mangsa untuk membawa Norhayati pulang ke Perak.
“Setakat pengetahuan saya, belum ada lagi permintaan setakat ini. JKM akan turun padang membuat tindakan susulan, kita akan tengok bantuan yang bersesuaian. Biasanya kita tunggu mereka pulang dahulu.
“Saya sendiri mungkin akan turun menziarahi keluarga berkenaan, insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














