Monyet ekor panjang atau nama saintifiknya Macaca fascicularis merupakan spesies haiwan terancam di Indonesia.

Indonesia dikritik eksport monyet untuk ujian makmal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEPUTUSAN Indonesia untuk meneruskan semula eksport monyet ekor panjang bagi kegunaan ujian makmal selepas berehat selama empat tahun telah mendapat kritikan daripada pelbagai organisasi perlindungan haiwan.

Langkah itu sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa jenayah eksploitasi spesies terancam akan semakin berleluasa.

Menurut Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna (CITES), Indonesia telah diberikan kuota eksport sebanyak 1,928 ekor monyet ekor panjang (Macaca fascicularis) pada Jun 2026 yang merupakan kuota rasmi pertama diluluskan sejak tahun 2022.

Kritikan terhadap perkara itu disuarakan oleh gabungan badan seperti Action for Primates, Jakarta Animal Aid Network (JAAN), Natha Satwa Nusantara, Animal Lawyer Indonesia, Lady Freethinker, Animal Friends Jogja dan Animals Don’t Speak Human.

Kesemua badan tersebut berpendapat tindakan membenarkan haiwan untuk ujian makmal melanggar usaha pemuliharaan ketika populasi spesies itu semakin merosot.

Menurut Pengasas Bersama Action for Primates, Sarah Kite, penyambungan semula eksport monyet ekor panjang dari Indonesia merupakan perkembangan yang membimbangkan.

“Eksploitasi dan penyalahgunaan yang terlibat bukan sahaja mengancam masa depan spesies ini tetapi juga bertentangan dengan momentum politik dan saintifik yang semakin meningkat untuk menamatkan penggunaan primat (kumpulan mamalia) bukan manusia dalam penyelidikan dan ujian ketoksikan.

“Tindakan oleh kerajaan Indonesia untuk melindungi populasi monyet ekor panjang sudah lama tertangguh,” katanya memetik laporan Jakarta Globe.

Melakukan ujian makmal dengan menggunakan haiwan terancam dilihat sebagai satu kemunduran. – Gambar hiasan

Menggunakan haiwan yang pupus untuk ujian makmal merupakan tindakan kemunduran bagi perlindungan primat asli Indonesia di samping usaha global untuk memperkukuh pemuliharaan hidupan liar yang giat dilakukan.

Sementara itu, Pengasas Bersama JAAN, Femke den Haas berkata, perlindungan yang lemah terhadap spesies ini merosakkan reputasi antarabangsa negara serta merugikan usaha pemuliharaan.

Terdapat laporan bahawa satu kemudahan pembiakan berkapasiti 4,000 ekor monyet itu telah dibina di Mesuji, Lampung, dengan pengendali dikatakan menawarkan penduduk tempatan sehingga kira-kira Rp200,000 (RM46) bagi setiap seekor yang dibekalkan.

Kumpulan NGO itu turut memberi amaran bahawa skim pembelian yang dilaporkan itu boleh membenarkan monyet tangkapan liar dikaburi untuk operasi pembiakan komersial.

Kebimbangan itu turut didorong oleh kekurangan perlindungan undang-undang spesies haiwan berkenaan di Indonesia walaupun disenaraikan di bawah Lampiran II CITES dan status terancam dalam senarai merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemulihan Alam Semula Jadi (IUCN).

Ketiadaan peraturan ketat akan mengakibatkan penangkapan berterusan untuk tujuan pembiakan, perdagangan sebagai haiwan peliharaan atau eksploitasi lain.

Pihak pencinta haiwan turut menegaskan penggunaan primat dalam ujian ketoksikan kini semakin ketinggalan zaman.

Kumpulan NGO itu juga meminta kerajaan Indonesia menangguhkan eksport, memperkukuh perlindungan undang-undang, menghalang penangkapan liar untuk tujuan komersial serta melabur dalam strategi yang membolehkan manusia dan monyet hidup berdampingan secara harmoni.

Kerajaan United Kingdom, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat giat melaksanakan Kaedah Pendekatan Baharu (NAMs) seperti sistem sel, teknologi cip organ dan pemodelan berasaskan kecerdasan buatan bagi mengurangkan kebergantungan pengujian terhadap haiwan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN