YUKEN ketika di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

Penjara 6 tahun, denda RM20,000 langgar mati penunggang motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja pembersihan di Singapura dipenjara enam tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal minggu lalu.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman ke atas T. Yuken, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil.

Hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini. Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tambahan selama setahun sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan RM4,000 kepada balu mangsa, Noor Adlin Roslan mengikut Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Mengikut pertuduhan, Yuken yang memandu kereta Perodua Myvi didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhamad Isa Damiri, 41, di Jalan Leong Bee, Gelang Patah pada pukul 4.20 pagi, 6 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan baru seminggu bekerja di Singapura selain perlu menyara keluarga termasuk ibu yang tidak bekerja, bapa seorang tukang kebun serta dua adik yang masih belajar.

“Itu saya punya salah, saya mengaku. Saya cuma mahu minta kurangkan hukuman dan denda,” katanya ketika membuat rayuan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhaizam Rostam Affendi bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan keluarga mangsa yang hilang tempat bergantung, selain faktor pencegahan dan pengajaran kepada masyarakat.

Katanya, mangsa meninggal pada usia 41 tahun dan meninggalkan seorang isteri serta empat anak. Tertuduh juga didapati memandu tanpa lesen dan insurans.

Mahkamah turut diminta mengambil kira kerosakan motosikal mangsa selain mempertimbang bayaran pampasan kepada balu Muhamad Isa.

Mengikut fakta kes, tertuduh dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal Honda C100B yang ditunggang mangsa. Ekoran kejadian itu mangsa tercampak sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.

Rakaman kemalangan itu turut tular di media sosial yang memaparkan keadaan mangsa yang melambung selepas motosikalnya dirempuh Perodua Myvi yang dipandu laju.

Mahkamah menetapkan 10 Disember ini untuk status bayaran pampasan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN