PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merayu orang ramai supaya menghormati privasi keluarga dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian guru wanita di sebuah sekolah di Hulu Selangor baru-baru ini.
Beliau berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Sementara siasatan berlangsung, KPM (Kementerian Pendidikan) menggerakkan segala ikhtiar yang termampu untuk memastikan sokongan psikososial kepada warga sekolah berada pada tahap yang sebaiknya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, KPM sentiasa mengambil berat mengenai kesihatan mental warga pendidik dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan, kaunselor dan pelbagai pihak berkaitan.
“Masih banyak yang perlu kita lakukan dan kita akan terus melakukannya bersama-sama,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang guru wanita ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik guru pada pukul 7.15 pagi. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu sebelum disahkan meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE
















