KEJOHANAN Fury Championship Vol. 2 bakal mencuri tumpuan peminat sukan tempur apabila dua perebutan gelaran berprestij yang menghimpunkan petarung Muay Thai dan tinju dari Malaysia serta luar negara di Karisma Arena, Seremban, esok.
Edisi kedua kejohanan itu menjanjikan aksi lebih kompetitif dengan pertarungan utama menyaksikan wakil Malaysia, Izat Zaki, berdepan petarung Indonesia, Brian “The Spoiled Boy”, bagi merebut gelaran sulung Fury Muay Thai Lightweight Championship.
Pertembungan tersebut bakal melakar sejarah apabila pemenangnya dinobatkan sebagai juara pertama bagi kategori berkenaan sejak Fury Championship diperkenalkan.
Sementara itu, satu lagi pertarungan menarik menyaksikan Putih “Pretty Boy” dari Malaysia menentang Ilham “Flanker” Levisa dari Indonesia bagi merebut gelaran tinju OPBF Silver Super Lightweight Championship.
Aksi di gelanggang dijadualkan bermula menerusi pertarungan pembukaan yang boleh disaksikan secara percuma (Free Bouts) pada jam 5.25 petang.
Acara kemudiannya diteruskan dengan rangkaian pertarungan utama secara bayar setiap tontonan (PPV) bermula jam 8.00 malam.
Tiket untuk menyaksikan Fury Championship Vol. 2 secara langsung di Karisma Arena boleh dibeli secara eksklusif menerusi platform WowTix. – KOSMO! ONLINE














