KLANG – Pelabuhan Klang Free Zone (PKFZ) menyasarkan hasil sehingga RM114 juta tahun ini susulan prestasi memberangsangkan yang terus dipacu menerusi pelbagai inisiatif transformasi serta pengoptimuman aset strategik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sasaran tersebut bersandarkan pencapaian PKFZ merekodkan hasil tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM108 juta pada lalu.
Menurutnya, PKFZ turut mencatatkan pertumbuhan kendalian kargo sebanyak 14.9 peratus kepada 110,467 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setakat Mei lalu.
“Sehingga Mei 2026, jumlah hasil dan kutipan meningkat masing-masing sebanyak 16 peratus dan 29 peratus berbanding tempoh sama pada Mei 2024. Justeru, PKFZ meletakkan sasaran hasil sebanyak RM114 juta pada tahun ini dengan 80 peratus pelabur dalam negara dan selebihnya pelabur asing,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Anthony ketika ucapannya pengurusan PKFZ telah berjaya menghidupkan semula 86 peratus ruang komersial yang sebelum ini tidak dimanfaatkan secara optimum selama hampir 20 tahun.
Menurutnya, dua blok bangunan pejabat lapan tingkat kini ditukar fungsi sebagai Centralised Labour Quarters (CLQ) dan diuruskan oleh Q Centre Management (Westport) Sdn. Bhd.
“Selain itu, sebuah hotel lapan tingkat telah disewakan kepada Golden Horse Rubber untuk dijadikan pejabat korporat serantaunya dan kini dikenali sebagai Wisma Golden Horse,” katanya.
Anthony Loke menjelaskan, majlis pra-pelancaran tersebut mencapai nilai pelaburan terkumpul sebanyak RM566 juta, dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan eksport dan memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.
Tambahnya, pelaburan dari China terus menjadi pemacu utama pertumbuhan PKFZ apabila keluasan ruang yang diduduki syarikat dari negara itu melepasi 3.18 juta kaki persegi pada Januari lalu.
“Syarikat berkaitan China menyumbang sebanyak 88,070 TEU pada tahun lalu atau 20 peratus daripada keseluruhan kendalian kargo PKFZ,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE






