KANSAS CITY – Bintang legenda Argentina, Lionel Messi terus membuktikan sentuhan magisnya masih belum pudar apabila meledak hatrik untuk membantu Argentina membenam Algeria 3-0 dalam aksi Piala Dunia 2026, semalam.
Lebih manis, persembahan memukau di Kansas City Stadium itu menyaksikan Messi menyamai rekod jaringan sepanjang zaman Piala Dunia milik legenda Jerman, Miroslav Klose dengan koleksi 16 gol.
Pada usia 39 tahun, Messi bukan sahaja mengemudi kemenangan skuad La Albiceleste , malah mencipta sejarah sebagai pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia, selain mencatatkan penampilan antarabangsa ke-200 buat negaranya.
“Dapat menikmati saat ini bersama keluarga dan rakan sepasukan adalah sesuatu yang sangat indah. Saya gembira dan berterima kasih kepada peminat kerana sekali lagi membuktikan betapa gila dan cintanya Argentina kepada bola sepak,” kata bintang Inter Miami itu.
Argentina yang turun sebagai penyandang juara tidak menunggu lama untuk menguji kubu Algeria apabila Messi membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi satu rembatan deras dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol, Luca Zidane.
Dominasi juara Piala Dunia itu berterusan di babak kedua apabila Messi menyambar bola muntah hasil percubaan Alexis Mac Allister pada minit ke-60 untuk gol kedua peribadi.
Messi akhirnya melengkapkan hatrik pertamanya di pentas Piala Dunia pada minit ke-76, hasil hantaran pemain gantian, Nico Gonzalez sebelum dikeluarkan untuk menerima tepukan gemuruh ribuan penyokong di stadium.
Sementara itu, pengendali Argentina, Lionel Scaloni mengakui sudah kehabisan kata-kata untuk menggambarkan kehebatan kapten pasukannya itu.
“Selama 20 tahun, dia (Messi) sudah membiasakan kita dengan aksi luar biasa seperti ini. Dia adalah inspirasi kepada sesiapa sahaja yang menontonnya bermain,” ujar Scaloni.
Kemenangan dalam aksi Kumpulan J itu meletakkan Argentina di landasan tepat untuk menjadi pasukan pertama mempertahankan gelaran juara dunia sejak kali terakhir dilakukan Brazil pada 1962.
Argentina dijadualkan bertemu Austria pada Isnin ini untuk aksi kedua kumpulan bagi mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati. – AFP














