fbpx
Lokasi dua lelaki maut selepas tertimbus tanah ketika melombong emas di kawasan anak sungai di ladang sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah dekat Jeli pada 20 Mei lalu. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Empat lokasi panas kegiatan lombong emas haram di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengenal pasti empat lokasi panas yang dipercayai menjadi tumpuan individu tidak bertanggungjawab menjalankan kegiatan melombong emas secara haram sekali gus mencuri hasil bumi negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kawasan Lojing dan Aring di Gua Musang selain Jeli dan Kuala Krai berada dalam senarai utama kegiatan perlombongan emas haram menerusi penguatkuasaan berterusan yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri bersama kerajaan pusat.

“Dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak mengambil tindakan tegas sehingga menyebabkan kegiatan perlombongan emas haram semakin meningkat adalah tidak berasas.

“Agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga sentiasa menjalankan pemantauan berkala. Laporan PTG dibuat secara kerap dan terus kepada saya sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan pemantauan terhadap aktiviti pengambilan hasil mineral dan tidak akan berkompromi dengan pihak yang mencuri hasil negeri.

“Dalam simpanan kerajaan negeri ketika ini ada 45 buah jentera mesin pengorek yang dirampas menerusi operasi membanteras perlombongan haram,” ujarnya

Mohamed Fadzli berkata, agensi dan jabatan kerajaan negeri yang berkaitan turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan tersebut.

Akhbar Kosmo! pada 22 Mei lalu melaporkan, keghairahan tiga sahabat melombong emas secara haram di kawasan pedalaman berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas tertimbus dalam runtuhan tebing tanah di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong di sini pada 20 Mei lalu.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, Mohamad Ali Akhbar, 38, dan Mohamad Noor Illyas Suhaisham, 32, tertimbus tanah setinggi dua meter ketika mereka sedang melombong emas.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd. Shamsuri Mohd. Zain dilaporkan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kegiatan melombong emas secara haram di kawasan tersebut yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari sebuah kilang memproses kelapa sawit di Kampung Jerimbong. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN