RAWANG – Penyanyi Adira Suhaimi terkilan kes pengesahan lafaz rujuk yang difailkan bekas suami, Datuk Red pada Disember tahun lalu masih belum berakhir.
Menurut Adira, 35, dia bahkan terkejut dengan syarat yang dikemukakan Datuk Red terhadapnya sekiranya mahu dia menarik semula kes pengesahan lafaz rujuk beberapa hari sebelum prosiding hari ini berlangsung.
“Sebenarnya saya agak terkilan sebab harapkan perkara ini selesai hari ini kerana sudah lama berlarutan. Tapi itulah, mungkin bukan rezeki untuk selesai hari ini.
“Saya juga terkejut atas beberapa tuntutan iaitu beberapa hari sebelum ini dengan mengatakan dia boleh batalkan dan mengaku depan hakim yang rujuk tidak berlaku sekiranya saya ikut syarat dia.
“Syaratnya ialah dia meminta saya menggugurkan saman sivil saya terhadap dia atas tuntutan hutang dan nak saya beri dia wang tunai RM100,000 untuk dia batalkan rujuk ini,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.
Dia bagaimanapun tidak bersetuju dengan syarat yang dikemukakan kerana berasakan perkara tersebut tidak masuk akal untuknya membayar dengan jumlah tersebut.
“Malangnya saya tidak bersetuju sebab saya kerja pagi petang siang malam, ada empat tanggungan (anak-anak) di rumah dan tak pernah menyusahkan dia pun.
“Tergamaknya dia ya? Sanggup dia beri tuntutan terhadap bekas isteri yang bertungkus-lumus menjaga anak-anak tanpa menyusahkan dia pun sebenarnya.
“Jadi, itu adalah antara tuntutan yang dia beri tetapi saya tidak bersetuju, maka berlakulah bicara di mahkamah hari ini,” ujarnya.
Saman sivil
Menjelaskan mengenai saman sivil yang disebut, Adira memaklumkan perkara itu membabitkan wang pinjaman yang diberikan kepada Datuk Red selepas mereka bercerai.
Tambahnya, jumlah tersebut mencecah ratusan ribu dan dia menuntut haknya dipulangkan semula mengikut saluran undang-undang.
“Untuk saman sivil itu berkenaan dengan tuntutan hutang tu, saya dah failkan tahun lepas. Tuntutan hutang ini sebenarnya adalah duit pinjaman dia selepas bercerai.
“Saya minta dia bayar balik. Bukan sikitlah, ratusan ribu. Dia masih dalam prosiding lagi sebab saya rasa Datuk Red punya nama pun bankrap kan, jadi ada langkah yang kami perlu lalui untuk buat proses ni berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia juga memilih untuk mengunci mulut dan tidak pernah membuka mulut untuk mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan prosiding mahkamah.
“Saya tidak minta apa-apa sampailah sekarang dan saya tak pernah pun mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai semua yang berlaku pada hari ini.
“Tak akanlah saya nak diam saja bila orang dah pijak-pijak begini.
“Bagilah saya bercakap sekali namun hanya benda yang sepatutnya sahaja, perkara perlu saja saya kongsi,” tambahnya.
Dia juga bagaimanapun menyifatkan perkara yang berlaku ketika ini membuat dirinya lebih matang dan sabar.
“Kes memang berlarutan tetapi ini adalah proses untuk menjadikan saya orang yang lebih sabar, tenang dan matang.
“Tapi bagi saya benda ini hal kecil saja sebab sudah pernah hadap perkara yang lebih berat dan besar sebelum ini.
“Alhamdulilah saya masih lagi tenang sehingga sekarang ditambah pula ada sistem sokongan yang sangat kuat,” jelasnya.
Hari ini, mahkamah menangguh prosiding pengesahan lafaz rujuk yang difailkan Datuk Red terhadap Adira pada 25 Jun depan.
Perkara tersebut diputuskan Hakim Nurul Hidayah Jani selepas prosiding perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini.
Red sebelum ini memberitahu tindakannya memfailkan pengesahan lafaz rujuk bukan disebabkan masih berharap dapat kembali kepada bekas isterinya sebaliknua bago memastikan sama ada perkara yang berlaku sah mengikut hukum atau sebaliknya selain menepis dakwaan dirinya ‘gila talak’.
Sementara, Adira pula menafikan dakwaan berlaku lafaz rujuk dengan Red yang didakwa berlaku pada Mei 2024.
Untuk rekod, Red dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 namun perkahwinan berakhir dengan perceraian pada 24 April 2024.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3. – KOSMO! ONLINE














