KOTA TINGGI – Tiga individu mati dalam satu kejadian tembak di hadapan sebuah kedai makan di Kota Jaya di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian pada pukul 1.40 tengah hari itu, mangsa yang maut terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita.
Bagaimanapun, identiti kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti.
Difahamkan, sejurus kejadian itu, polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian tembakan terbabit ketika cuba melarikan diri.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis telah merampas sepucuk pistol yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
“Siasatan masih dijalankan. Polis akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














