SALAH sebuah institusi pendidikan perakaunan terkemuka di negara ini, TYMBA Education Group (TYMBA) bakal memainkan peranan penting dalam mentransformasikan International School of Kuantan (ISK), Pahang.
ISK bakal diubah menjadi pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf antarabangsa melalui kerjasama strategik yang menyeluruh dan berimpak tinggi.
Langkah itu diperkukuhkan dengan pelantikan Pengasas TYMBA, Airil Razali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bersama antara TYMBA dan ISK yang bertanggungjawab menyelaras hala tuju serta memastikan pelaksanaan transformasi institusi berkenaan berjalan secara tersusun.
Menurut Airil, jawatankuasa tersebut diwujudkan bagi menyokong usaha memperkasakan ISK sebagai institusi pendidikan yang bukan sahaja berteraskan legasi lebih 30 tahun, malah mampu menyesuaikan diri dengan keperluan pendidikan global.
Melalui pengalaman luas TYMBA dalam membangunkan ekosistem pembangunan bakat bertaraf global, Airil membawa pendekatan yang menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kebolehpasaran graduan.
“Pendekatan ini memberi fokus kepada penyediaan pelajar untuk menghadapi cabaran dunia sebenar, termasuk ketidaktentuan ekonomi, perkembangan teknologi pesat serta perubahan keperluan industri masa hadapan.
“Selain itu, memorandum persefahaman (MoU) antara TYMBA dan ISK turut melibatkan penstrukturan semula kurikulum bagi memastikan ia lebih relevan dan menyeluruh.
“Usaha ini membolehkan lepasan institusi itu menembusi pasaran kerja selepas tamat pembelajaran.
“ISK kini beralih daripada program American High School Diploma kepada sukatan pelajaran Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE) bagi meningkatkan pengiktirafan akademik di peringkat antarabangsa.
“Pada masa sama, institusi ini turut mengintegrasikan BTEC (Business and Technology Education Council) ke dalam silibus yang menekankan pembelajaran berasaskan aplikasi sebenar, projek industri dan pembangunan kemahiran praktikal.
“Gabungan IGCSE dan BTEC ini meletakkan ISK sebagai antara institusi pendidikan yang menawarkan pendekatan paling praktikal dalam menyediakan pelajar menghadapi dunia kian dinamik,” kata Airil yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif TYMBA.

Tambahnya, melalui rangkaian TYMBA, pelajar ISK kini mempunyai akses kepada pelbagai laluan pendidikan termasuk A-Level, program asas (foundation), laluan BTEC serta kelayakan profesional seperti Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).
“Pelaksanaan awal kerjasama antara TYMBA dan ISK ini menunjukkan perkembangan positif dari segi hala tuju institusi, peningkatan minat terhadap laluan pendidikan alternatif serta penerimaan terhadap pembelajaran berorientasikan industri.
“Walaupun transformasi ini memerlukan masa, namun asas kukuh yang dibina dijangka mampu mewujudkan ekosistem pendidikan mampan dan relevan dengan keperluan masa hadapan,” jelas Airil.
Dalam pada itu, Pengasas bersama TYMBA, Ahmad Aimran Ahmad Ridzuan berkata, kerjasama antara TYMBA dan ISK dilihat sebagai langkah strategik jangka panjang dalam memperkukuhkan kedudukan institusi serta menyokong aspirasi menjadikan Pahang sebagai antara peneraju kecemerlangan pendidikan di Malaysia.
Menurutnya, kemahiran digital menjadi antara silibus pendidikan dalam program yang ditawarkan TYMBA, dan akan dibawa ke ISK bagi memperkasakan lagi pelajar-pelajar untuk mendepani era digital.
“TYMBA juga membawa program kemahiran digital kepada pelajar sebagai pelengkap dan meningkatkan kompetitif pelajar sebelum masuk ke industri.
“Pelajar juga akan dilengkapi dengan skills cloud accounting, data analytics, artificial intelligence dan banyak lagi.
“Ini selari dengan aspirasi bahawa akauntan adalah salah satu profesion yang tidak lekang dek zaman.
“Sebaliknya, ia akan terus mengubah dan meluaskan skop serta peranannya, selari dengan keupayaan teknologi,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan TYMBA, Ahmad Aimran berkata, visi pihaknya adalah menjadi pemain global dengan memberi nilai tambah kepada pelajar menerusi ilmu yang praktikal dan relevan.
“Berbekalkan pelbagai kelebihan di TYMBA, kami memutuskan untuk bergiat dalam bidang pendidikan dengan menawarkan kursus perakaunan profesional iaitu ACCA dan ICAEW.
“Kami berhasrat untuk menjadikan kursus ini dapat diakses dengan mudah dan lebih efektif kepada pelajar,” katanya.














