Taman Agroteknologi Mardi Cameron Highlands terkenal kerana terdapatnya ladang teh tertua di Malaysia yang mula ditanam sejak tahun 1027 dan terbinanya kilang teh pertama di negara ini pada tahun 1935.
Satu lagi pencapaiannya adalah projek penanaman tulip yang berpotensi besar dalam sektor agrotourism dan industri florikultur di negara ini. Ia juga memberi kepelbagaian dan tambahan produk bunga tempatan sekali gus boleh menjana pendapatan untuk industri.
Pada tahun ini, pokok tulip berbunga pada awal bulan April dan dijangkakan tempoh berakhirnya pada 16 April ini, di situ pengunjung bebas bergambar dan melihat sendiri kecantikan bunga istimewa itu untuk diabadikan di dalam momen percutian masing-masing.
Pengurus Ladang Cameron Highlands, Nur Shahirah Jahuri berkata, jumlah pengunjung juga agak ketara bertambah berbanding hari biasa dengan jumlah pengunjung adalah sekitar 700 hingga 800 orang tetapi pada musim ini, ia boleh mencecah kepada 2,000 orang khususnya pada cuti hujung minggu.

“Boleh dikatakan, bunga ini agak ‘manja’ sebab itu kami kena kawal, khususnya daripada peringkat bebawang, untuk melihat bunga ini cantik berbunga. Kalau suhu itu terlalu tinggi, ia akan merosakkan bunga.
“Kami mengambil risiko meneruskan projek tanaman ini kerana mahu memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri keindahan bunga tulip tanpa ke luar negara,” katanya pada lawatan media di Taman Agroteknologi Mardi Cameron Highlands, Pahang kelmarin.
KOSMO!: Boleh jelaskan tentang perkembangan tanaman tulip di sini?
Nur Shahirah: Ketika dimulakan pada tahun 2022, kita membeli benih tulip dari Eropahdan berjaya menghasilkan 300 pokok tulip dan sehingga kini kita memiliki sehingga 1,500 pokok bunga tulip.
Teknologi yang digunakan adalah pengurusan rumah hijau, sistem kawalan suhu dan kelembapan, teknik penyejukan bebawang (vernalization) dan sistem pengairan terkawal.
Tempoh penanaman bunga ini adalah antara lapan hingga 12 minggu sehingga ia berbunga.
Terdapat dua jenis varieti tulip ditanam di sini iaitu Tulipa gesneriana (garden tulip) dan Tulip clusiana (lady tulip).
Sehingga kini, kita ada empat jenis warna tulip iaitu mix orange, kuning, purple dan juga pink.
Tempoh ia berbunga hanya 10 ke 14 hari sahaja dalam setahun dan jika ada yang bercadang untuk melihat tulip di sini, masih ada masa sehingga 16 April ini.
Cuma saya jangkakan pada hari akhir itu, kelopak bunganya sudah cukup mekar. Selalunya untuk melihat bunga tulip yang cantik adalah pada hari kelima.

Berapa peratus kadar kejayaan projek tanaman tulip oleh Mardi Cameron Highlands?
Ia adalah sekitar 40 hingga 50 peratus dan sehingga kini kami masih lagi menjalankan kajian dan pembangunan untuk menjayakan projek ini tetapi ia bukan untuk skala komersial.
Bagaimana kesan perubahan cuaca yang makin ketara dengan isu kehangatan global, boleh menjejaskan projek tanaman ini pada masa depan?
Ini adalah projek jangka panjang kami, antara pilihan yang dibuat untuk berdepan dengan cabaran tersebut adalah memfokuskan kepada tisu kultur bagi menjamin kelangsungan tumbesaran pokok tulip tersebut.
Sebenarnya untuk pokok tulip hidup dengan sebaiknya adalah di negara bermusim sejuk tetapi Malaysia memiliki iklim tropika jadi untuk menyesuaikan ia dengan cuaca di negara ini, pokok ini mengambil masa yang lama kerana anak benihnya yang bermula daripada bebawang memerlukan pemakanan yang cukup.
Apakah sasaran jumlah pokok tulip yang ditanam di Mardi untuk masa depan?
Kami jangkakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, kita akan memiliki lebih daripada 2,000 hingga 3,000 pokok.

Adakah projek tanaman ini melibatkan kos yang banyak?
Ya, sebiji bawang benih tulip ini yang import adalah sekitar RM20 dan ia bergantung juga kepada kadar tukaran wang asing.
Peruntukan untuk projek ini masih ditanggung secara dalaman oleh Mardi dan ia adalah sekitar RM20,000 hingga RM30,000 setahun.
Apakah antara cabaran daripada aspek penyakit dan gangguan perosak terhadap tanaman ini?
Antara masalahnya adalah kulat dan juga penyakit yang dikenali sebagai ROT, jika bebawang tulip ini terlebih air, ia juga akan rosak, ada juga masalah spora kulat daripada pokok lain yang dipindahkan ke pokok tulip dan juga tikus suka makan bebawang tulip.
Adakah terdapat mana-mana syarikat tempatan yang mahu bekerjasama dengan Mardi untuk membawa projek tanaman ini di tanah tinggi yang lain seperti di Genting Highlands atau di Fraser Hill?
Kami ada juga menerima pertanyaan khususnya dari syarikat swasta yang berminat dari Fraser Hill, malah kami juga banyak menerima pertanyaan dan permintaan daripada pemain industri di Cameron Highlands sendiri untuk tanaman tulip.
Sebenarnya, bukan kami tidak mahu bekerjasama dalam bidang ini bersama mereka tetapi kami sendiri masih lagi dalam proses membuat kajian untuk mencapai ke tahap yang lebih baik, lagipun projek ini adalah suatu tanaman yang bernilai tinggi jadi agak sukar untuk dikomersialkan sebab tempoh bunga tulip hanya kira-kira dua minggu sahaja.
Bagaimana sambutan pengunjung terhadap projek tanaman tulip?
Sangat menggalakkan kerana selepas kami meuar-uarkan di media sosial seawal tiga bulan sebelum pokok tulip mula berkembang, ia menarik ramai pengunjung bukan sahaja dari Cameron Highlands sendiri tetapi daripada peminat bunga di seluruh negara.
Selalunya pengunjung pada hari biasa adalah sekitar 700 ke 800 orang setiap hari tetapi bila waktu kemuncak bunga ini sedang cantik berbunga, pengunjung kami boleh mencecah sehingga 2,000 orang sehari. -KOSMO! ONLINE














