PETALING JAYA – Pelakon Azar Azmi mendedahkan hanya mempunyai wang sebanyak RM28 di tangan selepas dibebaskan polis pada 11 Mac lalu bagi membantu kes penipuan tanah kurnia dan darjah kebesaran.
Azar atau nama lengkapnya, Siti Azar Ameerah Azmi berkata, semua baju dikenakan di tubuhnya ketika itu adalah pemberian ahli keluarga lain disebabkan keadaannya yang sehelai sepinggang.
“Kau nak tau tak, ini betul-betul orang tak tahu. Sebaik aku kena ambil (ditahan polis) tu aku tiada apa-apa langsung, habis (kosong).
“Aku dibebaskan. Aku keluar dari situ (reman). Dunia akhirat aku ada RM28 saja. Aku tiada apa-apa (simpanan).
“Kau nak tahu apa yang ada kat badan aku sekarang ni? Tudung kakak aku, baju arwah ibu, kasut kakak aku,” katanya ketika diwawancara program Nona.
Azar yang mengalirkan air mata ketika mendedahkan situasi dilalui juga mengakui kekuatan untuk bangkit selepas melalui episod hitam ialah adik-beradiknya.
Katanya, dia berdepan cacian ramai selepas ditahan polis susulan dakwaan terbabit dengan kes penipuan tanah kurnia mencecah RM1.5 juta serta darjah kebesaran.
“Sebaik aku melangkah keluar dari situ aku jadi takut nak jumpa orang, pandangan orang, tohmahan orang, makian orang.
“Aku beruntung sebab ada kakak dan adik-adik yang membantu aku. Kalau tak aku dah terkontang-kanting kat luar sana. Aku tak tahu apa jadi pada hidup aku dah,” ujarnya.
Nama pelakon drama Nur 2 itu menjadi bualan selepas dia dan suaminya, Mohd. Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, direman serta didakwa di mahkamah atas kes sama.
Begitupun, pelakon usia 37 tahun itu dibebaskan dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes.
Dalam prosiding pada Mac lalu, suaminya mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.
Mohd. Apri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang penama wanita berusia 35 tahun. – KOSMO ONLINE














