BERLIAN telah menjadi simbol cinta, kemewahan, pangkat, warisan, hierarki dan kekuasaan sejak berabad-abad lamanya sekali gus orang sanggup melakukan apa sahaja bagi mencari dan mengambil harta berharga yang terbentuk dari dasar bumi ini.
Kilauan yang memukau dengan cahaya warna yang indah membuatkan sesiapa sahaja terpesona lantas menjadi simbol keabadian cinta untuk dijadikan pelbagai perhiasan sebagai hadiah paling istimewa kepada yang tersayang.
Bukan itu sahaja, berlian juga dijadikan sebagai permata untuk menghiasi mahkota. Lantas membuktikan betapa berharganya batuan ini.
Pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima berlian paling mahal di dunia seperti dilaporkan oleh Nickireland.
1) Koh-i-Noor
DI carta pertama, Koh-i-Noor yang bermaksud gunung cahaya dalam bahasa Parsi ekoran kekayaannya dalam sejarah diraja, kepentingan budaya dan politik menjadikan berlian yang tidak ternilai (priceless) dan berlian paling mahal di dunia.
Pada asal berlian ini mempunyai berat 793 karat kemudian dipotong dan digilap mengikut berat semasa iaitu 105.6 karat. Batu itu dipercayai dilombong di Lombong Kollur di Golconda, berhampiran dengan Sungai Krishna di kawasan yang kini dikenali sebagai Andhra Pradesh di India.
Koh-i-Noor bukanlah berlian biasa kerana tidak dijual atau dibeli tetapi simbol kebangkitan dan kejatuhan sebuah empayar yang perkasa. Ia telah menjadi batu permata pemenang di India, Parsi dan Afghanistan yang akhirnya menjadi sebahagian daripada permata mahkota British pada abad ke-19, Koh-i-Noor kini merupakan sebahagian daripada permata mahkota.

2) Cullinan
DILOMBONG di Afrika Selatan pada tahun 1905, berlian Cullinan yang pada asalnya seberat 3,106 karat merupakan berlian kasar terbesar yang pernah ditemui.
Dinamakan sempena pengerusi lombong, Thomas Cullinan, ia telah dipotong menjadi 105 permata berbeza pelbagai saiz. Dua potongan besar Culilinan iaitu Cullinan I (530.4 karat) dan Cullinan II (317.4 karat) telah menghiasi permata mahkota Britain. Nilai berlian itu kini mencecah sehingga AS$2 bilion (RM7.9 bilion) sekali gus menjadi bukti keagungan geologinya.

3) Berlian Hope
BERLIAN Hope merupakan salah satu berlian biru paling terkenal di dunia. Berlian seberat 45.2 karat ini menampilkan warna biru kelabu pekat yang mewah dengan nilai melebih AS$200 juta hingga AS$250 juta (RM797-RM996 juta).
Menjejak kembali sejarahnya, berlian ini ditemui pada abad ke-17 di lombong Golconda yang sama dengan Koh-i-Noor dijumpai. Pada asalnya, ia seberat 112 karat, kemudian dipotong menjadi permata 69 karat dan dijadikan permata mahkota Perancis.
Selepas kehilangannya semasa Revolusi Perancis, ia ditemui semula di Britain pada abad ke-19.
Selepas bertukar beberapa tangan, ia dipotong semula kepada 45.2 karat dan dinamakan sempena pemilik sebelumnya, Henry Philip Hope. Ia akhirnya didermakan oleh Harry Winston yang membelinya pada tahun 1949 kepada Smithsonian Institution dan dipamerkan sehingga kini.

4) Berlian Seratus Tahun
DITEMUI pada tahun 1986 di Lombong utama Afrika Selatan, kewujudan Berlian Seratus Tahun (Centenary Diamond) telah diumumkan kepada orang ramai dua tahun kemudian pada ulang tahun ke-100 De Beers.
Hasilnya, De Beers menamakan berlian itu sebagai Berlian Seratus Tahun untuk meraikan ulang tahun mereka.
Seberat 599 karat pada asalnya, Centenary Diamond adalah salah satu berlian ternama serta terbesar secara dalaman dan luaran yang sempurna. Ia kemudian dipotong menjadi permata berbentuk hati yang diubah suai tanpa cela seberat 273.85 karat dengan 247 aspek yang sejajar dengan sempurna. Pakar menganggarkan nilainya kini melebih AS$100 juta (RM398 juta).
Institut Permata Amerika (GIA) memperakui warna berlian itu sebagai D iaitu penarafan tertinggi untuk berlian tanpa warna dan kejelasan dalaman serta luaran tanpa cela. Simetrinya yang sempurna juga menjadikannya satu kejayaan dalam ketukangan De Beers.

5) Bintang Merah Jambu CTF
KELIMA, berlian merah jambu seberat 59.60 karat ini dijual pada harga AS$71.2 juta (RM283 juta) di Sotheby’s Hong Kong pada 2017, ia memecahkan rekod dan kekal sebagai berlian termahal pernah dijual di lelongan.
Kini dimiliki oleh Chow Tai Fook Hong Kong dan dinamakan semula sebagai Bintang Merah jambu CTF.
Bintang Merah Jambu CTF bukan sahaja berlian Internally Flawless Fancy Vivid Pink terbesar yang pernah digredkan oleh GIA tetapi ia juga digredkan sebagai gred warna dan kejelasan tertinggi daripada GIA untuk berlian merah jambu.














