PETALING JAYA – Segelintir individu mendedahkan mereka berdepan trauma berpanjangan selepas impian untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi disekat oleh ibu bapa sendiri atas alasan tidak mempunyai kewangan yang kukuh.
Seorang pengguna Threads mendedahkan bapanya menyembunyikan surat tawaran menyambung pengajian pada tahun 2015 dan terbongkar selepas dia nekad bekerja hanya dengan menggunakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Aku tunggu posmen hantar surat kemasukan tapi tiada. Rupa-rupanya bapa aku sembunyikan sebab tidak mampu hantar sambung belajar,” katanya.
Selain itu, ada juga turut berkongsi kisah arwah ibunya yang dikunci di dalam bilik supaya tidak dapat mendaftar masuk ke universiti hingga terlepas tarikh pendaftaran.
“Tok aku buat macam ini dekat arwah mak aku. Arwah mak sudah siap kemas barang, tapi tok kunci dia dalam bilik sampai terlepas tarikh daftar universiti,” ujarnya.
Rata-rata pengguna turut berkongsi beberapa bantuan kewangan yang boleh dimohon sekiranya ingin menyambung pelajaran ke peringkat universiti.
“Contohnya zakat negeri, bantuan kewangan one-off (sekali sahaja) negeri. Selama saya belajar, mak ayah saya tak pernah bayarkan yuran sebab saya dapat bantuan kewangan tersebut,” katanya.
Menurut Makdiksalmah berkata, meskipun masa lalu tidak boleh diubah, namun masa depan generasi akan datang kini terletak di tangan ibu bapa bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang.
“Walaupun berbeza taraf ekonomi, objektif utama setiap penjaga seharusnya mengutamakan pendidikan anak-anak kerana setiap usaha tersebut pasti dihargai oleh mereka suatu hari nanti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














