PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga Jurubahasa Isyarat Radio Televisyen Malaysia (RTM), Allahyarham Mohammad Fadhil Tan Razman Tan yang kembali ke rahmatullah, hari ini.
Fahmi menerusi hantaran Facebook berkata, beliau dimaklumkan Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Abby Tan, sebelum ini terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 6 Mac lalu.
“Semoga keluarga Allahyarham diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini. Takziah juga kepada rakan-rakan di RTM, khususnya di Bahagian Berita Ehwal Semasa.
“Sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, al-Fatihah,” katanya hari ini.
Terdahulu, Mohammad Fadhil Tan terlibat kemalangan motosikal semasa pulang ke kampung ibunya di Ipoh, Perak pada 6 Mac lalu dipercayai dilanggar lari oleh sebuah lori.
Kejadian tersebut berlaku di Simpang Pulai, Perak antara pukul 9 hingga 10 malam dan Allahyarham kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak. – KOSMO! ONLINE














