fbpx
CHELSEA menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir Piala FA apabila mudah mengetepikan cabaran Port Vale. - AFP

Piala FA: Bantu lonjak keyakinan Chelsea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Kemaraan ke separuh akhir Piala FA dijangka mampu mengembalikan keyakinan pemain-pemain Chelsea untuk mengekalkan rentak terbaik bagi mengharungi baki perlawanan saingan musim ini.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stamford Bridge awal pagi semalam, The Blues tidak menunjukkan belas kasihan apabila membelasah pasukan tercorot Liga Satu, Port Vale dengan keputusan 7-0.

Kemenangan itu sekurang-kurangnya dapat memulihkan semangat serta moral pasukan selepas dimalukan Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menerusi kekalahan agregat 2-8.

Pengurus Chelsea, Liam Rosenior berkata, barisan pemainnya masih menaruh sepenuh kepercayaan untuk menyelamatkan musim mereka dengan memenangi Piala FA serta melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Apabila anda mengharungi tempoh sukar seperti kami alami sebelum ini, sudah tentu anda akan cuba melakukan analisis dan memperbaiki kelemahan itu. Kami tahu apa kelemahan itu dan mahu kembali lebih kuat.

“Saya memiliki kumpulan pemain yang ada kepercayaan cukup tinggi dalam diri masing-masing. Kami masih berpeluang untuk menamatkan musim ini dengan trofi Piala FA serta kelayakan ke Liga Juara-Juara,” katanya.

Mengulas ketiadaan pemain tengah, Enzo Fernandez yang berdepan hukuman penggantungan dua perlawanan oleh kelab akibat kenyataan tidak profesional sebelum ini, beliau menjelaskan, mereka tidak ada sebarang masalah.

“Itu adalah pendapat dia sendiri dan saya tidak mahu mengulas lanjut. Enzo (Fernandez) tahu apa yang saya mahukan dan saya gembira kerana dia hadir untuk menyaksikan rakan sepasukan beraksi,” ujar Rosenior. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN