PETALING JAYA – Di sebalik nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saranan berjimat cermat susulan konflik di Asia Barat, acara rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri pada masa ini masih lagi meriah.
Menerusi perkongsian orang ramai di media sosial, jalan raya termasuk di lebuh raya utama juga sesak pada hari cuti Sabtu dan Ahad berikutan orang ramai keluar menghadiri jemputan rumah terbuka sanak saudara, rakan dan kenalan masing-masing.
Seorang pengguna TikTok Zulkifli Nafi berkongsi pandangannya berhubung acara rumah terbuka yang meriah pada masa ini biarpun terdapat saranan kepada semua pihak untuk berjimat cermat.
“Rakyat Malaysia di kala PMX pesan suruh jimat cermat, open house (rumah terbuka) onz (berjalan), highway (lebuh raya) sesak macam tak ada apa berlaku,” katanya pada kapsyen video.
Ia mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai berhubung situasi dihadapi pada masa ini.
“Kedai makan yang high class (kelas atas) penuh, tempat letak kereta pusat beli-belah tak pernah sunyi. Payah nak cari parkir,” kata pengguna TikTok Zlien.
“Ramai orang nak buat kenduri kahwin, kenduri akikah anak. Semoga dipermudah urusan,” komen pengguna TikTok Norjaiedah.
“Ekonomi perlu berjalan. Kalau tak berbelanja, ekonomi akan tepu. Kalau ekonomi tepu habis wei,” komen Tuan Din.
“Minyak mahal, rakyat Malaysia masih open house sana sini,” kata Rozeyneo.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak agar menguruskan perbelanjaan dengan berhemat susulan konflik di antara Iran dan Amerika Syarikat-Israel yang masih berlarutan.
Perdana Menteri dipetik berkata, beliau memahami keselesaan dinikmati Malaysia ketika ini, namun kerajaan bertanggungjawab untuk mengingatkan bahawa keadaan boleh berubah dalam situasi antarabangsa yang tidak menentu. – KOSMO! ONLINE
@zulkifli_nafi #fyp #viral #pmx #iran #jimat ♬ original sound – MissEmma_AlAydrus














