PETALING JAYA – Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu yang sudah dinaik taraf kini dicemari dengan kehadiran ‘mat rempit’ yang didakwa mengganggu ketenteraman awam di situ.
Menerusi satu hantaran video di Threads oleh Sharqawi_Isa.My, kelihatan ramai anak muda dipercayai ‘mat rempit’ berkumpul di laluan pintu pelepasan yang menjadi tempat utama menurunkan dan mengambil penumpang.
Kumpulan ‘mat rempit’ ini turut bertindak melakukan ‘rem’ dan menunggang motosikal mereka secara melawan arus di laluan pengguna lapangan terbang tersebut.
“Memalukan je pelancong luar Kelantan tengok budaya macam ini,” katanya.
Rata-rata pengguna terutamanya yang berasal dari Kelantan turut meluahkan rasa marah dan kecewa dengan sikap anak-anak muda yang dikatakan tidak mempunyai adab.
“Tiada adab betul. Anak-anak muda Kelantan ni tak belajar agama dan adab ke apa?,” tambah Mohdhasfani.
“Pihak pengurusan tolong buat sesuatu sebab airport (lapangan terbang) kita itu berada di tahap antarabangsa. Jangan biar mereka cemarkan kawasan,” ujar Luqqmannn_ pula.
Menurut Imanfadia berkata, dia bimbang sekiranya tindakan provokasi seperti melakukan ‘wheelie’ atau membawa motor melawan arus boleh mengundang kemalangan kepada orang ramai.
“Hari itu masa pergi airport (lapangan terbang), siap racing (berlumba) lagi. Polis dah siap blocked (tahan) di depan. Mat rempit ni patah balik melawan arus dan nasib tak langgar kereta saya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














