fbpx
Muhammad Nizar (kiri) pada Majlis Pecah Tanah Penempatan Kuarters Pekerja bagi Projek HLEP di Bandariang, Gerik hari ini.

HLEP perkukuh Perak sebagai pemacu ekonomi hijau negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GERIK – Perak memperkukuh kedudukan sebagai pemacu masa depan ekonomi hijau negara menerusi pelaksanaan Projek Hydro Life Extension Programme (HLEP) yang disokong oleh pembangunan Fasiliti Penempatan Berpusat sebagai komponen strategik di koridor hidroelektrik Sungai Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kelebihan sumber semula jadi negeri, khususnya Sungai Perak bukan sekadar anugerah alam tetapi merupakan asas kekuatan strategik yang memacu pertumbuhan ekonomi mampan dan berdaya saing.

“Perak bukan sekadar menyumbang kepada sektor tenaga negara, tetapi sedang membina kedudukan sebagai pemacu masa depan ekonomi hijau.

“Ini adalah langkah strategik jangka panjang yang akan menentukan daya tahan ekonomi negeri dalam dekad akan datang,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Penempatan Kuarters Pekerja bagi Projek HLEP di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menurutnya, sejarah pembangunan hidroelektrik di Sungai Perak sejak awal abad ke-20 sehingga ke pengoperasian empangan utama seperti Temengor, Bersia, Kenering dan Chenderoh telah membentuk asas kukuh kepada kestabilan bekalan tenaga negara.

“Hari ini, melalui pelaksanaan HLEP oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Konsortium Voith–HeiTech, Perak melangkah lebih jauh dalam memperkukuh agenda Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara.

“Dengan kapasiti penjanaan mencecah 650.75 megawatt, projek ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi stesen janakuasa hidroelektrik, malah memperkukuh peranan Perak sebagai Pusat Strategik Tenaga Bersih yang mampu menarik pelaburan bernilai tinggi termasuk dalam sektor teknologi hijau dan pusat data,” katanya.

Saarani menegaskan bahawa pelaburan RM5.8 bilion oleh TNB bagi projek HLEP bakal menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi di Hulu Perak.

Katanya, impak pembangunan itu dijangka merancakkan bandar berhampiran seperti Gerik dan daerah Hulu Perak, sekali gus mengangkat kawasan tersebut sebagai pusat sokongan ekonomi baharu yang dinamik.

“Kerajaan negeri komited memastikan setiap fasa projek ini diterjemahkan kepada manfaat menyeluruh bagi rakyat.

“Justeru, pemerkasaan kontraktor tempatan dan pembangunan vendor akan menjadi teras utama dalam strategi kita untuk memperkukuh ekosistem industri negeri secara mampan,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, beliau menekankan bahawa pembangunan modal insan merupakan teras utama transformasi ini.

Katanya, melalui latihan berasaskan industri, kerjasama strategik dengan institusi TVET serta pemindahan teknologi, Perak sedang membina barisan tenaga kerja mahir tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri tenaga masa hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN