TENOM – Seorang lelaki dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental menembak adik kandungnya hingga maut dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong kelmarin.
Bagaimanapun, suspek turut dilaporkan maut selepas ditembak mati oleh pihak polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun yang juga seorang pekebun disahkan meninggal dunia ekoran mengalami lapan kesan tembakan di bahagian belakang badan.
Suspek adalah abang mangsa yang berusia 57 tahun dan dipercayai menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8.54 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota diarahkan ke lokasi.
”Sebaik tiba di tempat kejadian, penduduk kampung memaklumkan suspek berada di dalam rumah sambil memegang senjata api dan mengugut akan menembak sesiapa yang menghampiri kawasan terbabit.
”Pasukan polis kemudiannya mengepung kawasan rumah berkenaan dan mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali tetapi lelaki tersebut enggan keluar. Beberapa das gas pemedih mata dilepaskan ke dalam rumah bagi memaksa suspek keluar namun dia masih tidak memberikan kerjasama,” katanya.
Tambah Azmir, situasi bertukar tegang apabila suspek berlari ke arah dapur sambil mengacukan senjata ke arah anggota polis yang berada berhampiran tingkap rumah.
Susulan itu, ujarnya, seorang pegawai polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek bagi mempertahankan diri.
“Suspek rebah di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemeriksaan lanjut mendapati senjata bakakuk milik suspek masih mengandungi satu butir peluru hidup dalam chamber,” katanya dalam kenyataan media.
Mengulas lanjut, Azmir menyatakan polis turut merampas beberapa barangan termasuk laras senjata api bakakuk, peluru, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang di lokasi kejadian.- KOSMO! ONLINE














