MENGAPAKAH mazhab Maliki memakruhkan puasa enam Syawal sedangkan terdapat hadis sahih tentang pensyariatan dan kelebihannya?
JAWAPAN: Pensyariatan puasa enam hari pada bulan Syawal tsabit melalui hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:
“Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” Riwayat Muslim (1164)
Mazhab Hanafi, Syafi’e dan Hanbali bersepakat bahawa puasa enam hari pada Syawal adalah sunat yang sangat dituntut berdasarkan hadith di atas. (Rujuk Bada’ie as-Sona’ie, 2/78; Nihayatul Muhtaj, 3/208 dan Al-Mughniy,3/176)
Adapun menurut mazhab Maliki, terdapat satu riwayat daripada Imam Malik bin Anas bahawa beliau tidak pernah melihat mana-mana ilmuan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut dan tidak sampai pada beliau riwayat daripada golongan salaf yang berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Bahkan ada sesetengah ilmuan memakruhkannya kerana bimbang orang jahil akan menganggapnya sebagai sebahagian daripada Ramadhan. (Rujuk Syarh az-Zarqani ‘ala al-Muwatta’, 2/297)
Dalam mazhab Maliki, sesuatu hadis ahad itu tidak boleh diterima secara bulat-bulat kecuali jika disokong dengan amalan penduduk Madinah kerana mereka adalah golongan yang paling hampir dengan Rasulullah SAW, justeru mereka lebih memahami tentang apa yang dilakukan oleh nabi Muhammad SAW.
Imam Malik selaku penduduk Madinah mendapati bahawa ahli Madinah sendiri tidak berpuasa enam, walhal wujud hadith atas galakan itu.
Pada pandangan kami, pendapat Imam Malik ini adalah tidak sesuai untuk diamalkan kerana ‘illah yang beliau gunakan (bimbang orang jahil mengganggap puasa enam sebagai sebahagian Ramadan) tidak lagi timbul pada zaman sekarang. Umum telah mengetahui perbezaan antara puasa wajib di bulan Ramadan dan puasa sunat di bulan Syawal.
Kesimpulannya, Imam Malik menganggap puasa enam hari pada bulan Syawal adalah makruh dan tidak disunatkan kerana hadith yang diriwayatkan berkenaannya bertaraf ahad dan ia tidak diamalkan oleh penduduk Madinah pada zaman beliau yang menjadi salah satu dalil penting dalam mazhab beliau.
Ia juga dimakruhkan kerana takut puasa enam hari pada bulan Syawal disangka wajib oleh orang-orang jahil dan dianggap sebagai sebahagian daripada bulan Ramadan.
Namun, hujah ini ditolak oleh tiga mazhab mu’tabar yang lain iaitu Hanafi, Syafi’e dan Hanbali kerana hadith yang sahih dan sarih meskipun bertaraf ahad sudah cukup untuk dijadikan hujah tanpa perlu disandarkan kepada amalan penduduk Madinah. Kebimbangan yang ditimbulkan oleh Imam Malik juga tidak lagi berlaku dan perbezaan antara bulan Ramadan dan Syawal adalah jelas.














