ISU peperangan melibatkan beberapa negara di Asia Barat ketika ini tidak membantutkan hasrat Zara Zya meraikan Syawal di bumi Mekah sejak raya ketiga.
Terbang ke Tanah Suci pada 22 Mac lalu, pemilik nama penuh Zainurul Razia Mohd. Zainuddin itu mengakui keputusannya untuk berada lebih seminggu di sana satu keputusan tepat bagi mengejar pahala di rumah Allah SWT.
Menurut pelakon versatil itu, dia tidak berada di Mekah seorang diri, sebaliknya turut membawa bonda tercinta bersama.
“Alhamdulillah saya sambung beraya di Mekah, menunaikan ibadah umrah sejak hari raya ketiga.
“Sudah lama nak kembali menjejakkan kaki di Tanah Suci dan kini rezeki saya serta mama dijemput ke rumah Allah. Perancangan ini datang secara tiba-tiba saya kata ‘jomlah mama, raya ini kita pergi Mekah’, dia pun seronok dan terus setuju,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Bercerita lanjut, perancangan untuk menunaikan umrah sudah lama terpahat di hati, namun terpaksa ditangguh atas beberapa sebab termasuk jadual kerja padat.
“Awalnya saya rancang ke Mekah pada Ramadan lalu tetapi sibuk dengan penggambaran dan tiket penerbangan ketika itu pun agak mahal.
“Kemudian saya sendiri tidak pasti sama ada boleh bertahan berpuasa di sana sebab dengan ibadah, cuaca dan suasana pun berbeza di tempat orang.
“Jadi, saya putuskan pergi pada bulan Syawal sebab lebih tenang dan tak perlu berebut-rebut sangat,” katanya lagi.
Zara turut memaklumkan tidak membawa banyak pakaian kerana akan membeli-belah di sana.
“Saya tak bawa banyak baju. Sebelum ini pernah ada pengalaman bawa banyak baju kemudian tiba di sana, ‘shopping’ tak ingat dunia dan perlu hantar balik beg sebab tak pakai baju sedia ada, lebih muatan.
“Kali ini, saya banyak kali pesan mama supaya bawa tiga helai jubah dan dua telekung. Pakaian lain akan dibeli di Tanah Suci saja.
Ditanya kebimbangannya beraya di lokasi berhampiran dengan negara bergolak, bintang drama Sumpah Ibuku itu menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan.
Niatnya hanya mahu menunaikan ibadah selain sentiasa berdoa perjalanannya dilindungi Tuhan.
“Ketika dapat tahu tentang perang itu, memang risau tapi selagi agensi tak maklumkan apa-apa, saya teruskan sahaja.
“Sebenarnya mama paling risau dan banyak kali tanya sama ada boleh atau tidak terbang ke Tanah Suci tetapi ada beberapa individu sudah berada di sana dan maklumkan semuanya okey.
“Doakanlah saya dan kalau boleh mahu elak benda-benda yang menakutkan berlaku,” tuturnya.
Keluarga berpecah, media sosial
Berkongsi tentang hantarannya menerusi Threads mengenai membesar dalam keluarga berpecah-belah baru-baru ini, Zara berkata, perkara tersebut sudah lali dilaluinya sejak kecil.
“Umum tahu, saya sangat rapat dengan mama, semua perkara lakukan berdua. Saya ada kakak tetapi dia beraya dengan mentua pada tahun ini, jadi raya pertama tinggal saya berdua dengan mama. Saya rasa lebih baik bawa diri ke Tanah Suci.
“Perkongsian saya baru-baru ini sebab rindu kenangan masa kecil, membesar dalam keluarga yang berpecah-belah ini sukar, tak dapat kasih sayang macam orang lain.
“Tapi tiada sebab yang serius pun, saya dah melalui situasi ini bertahun-tahun, sudah terbiasa.
“Kalau nak kata sunyi, itu biasa dan jalani hidup macam biasa sebab tak mungkin kita dapat putar balik masa,” kongsinya.
Ditanya sama ada menjadikan Threads seperti diari harian kerana dilihat rancak meluah pelbagai perkara setiap hari, dia berkata, niatnya hanya mahu berkongsi tentang diri, karier dan bisnes.
“Saya bukan orang yang hebat menulis tetapi semakin lama semakin seronok pula bercerita dalam Threads.
“Semakin hari semakin rapat dengan peminat dan pengikut akaun saya. Pendek kata, Threads jadi tempat semua orang bercerita, kongsi perangai, cari idea dan sumber pendapatan—agak menyeronokkan sebenarnya.
“Saya juga suka baca cerita orang lain yang adakalanya seakan sama dengan kisah hidup sendiri. Threads adalah satu platform baru yang sangat positif untuk saya, hal negatif kita tolak tepi,” jelasnya lagi.














