KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada syarikat bas pelancongan bagi memastikan kelangsungan industri itu terus terjamin.
Menurut Naib Presiden Matta, Mohd Hizzat, pihak industri kini sedang giat berunding dengan kerajaan bagi mendapatkan semula subsidi bahan api khusus untuk kenderaan pelancongan.
“Menteri Pelancongan telah memanggil semua pemain industri untuk berbincang dan dalam perbincangan tersebut, kami turut menggesa agar subsidi turut diberikan kepada pengusaha bas pelancongan,” katanya.
Mohd Hizzat berkata demikian pada sidang akhbar Destinasi Kegemaran Antarabangsa sempena Matta Fair 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Jelasnya, sebelum ini bas pelancongan tidak menikmati subsidi menyebabkan kos operasi meningkat mendadak dan menekan pengusaha.
Tambahnya, langkah itu penting bagi memastikan kelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka merancakkan sektor pelancongan negara.
Perbincangan lanjut kini melibatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik.
Menurut Bendahari Kehormat Matta, Rocky Kho berkata, isu tersebut memberi kesan langsung kepada harga pakej pelancongan domestik.
“Kami berharap kerajaan dapat menyelaraskan atau membantu harga diesel seperti yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.
“Walaupun terdapat sedikit kesan terhadap pasaran Timur Tengah akibat konflik geopolitik, permintaan dari Asia Tenggara dan India menunjukkan peningkatan.
“Malah ada pelancong India yang beralih ke Malaysia kerana kos penerbangan yang lebih berpatutan berbanding ke Timur Tengah,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hizzat memaklumkan pembatalan pelancongan setakat ini hanya melibatkan pasaran Timur Tengah, manakala pasaran lain kekal stabil.
Terdahulu, media melaporkan bahawa kira‑kira 100 syarikat pengusaha bas persiaran di Zon Utara berdepan risiko ‘gulung tikar’ akibat kenaikan harga diesel dan melonjaknya kos operasi sehingga dua kali ganda.- KOSMO! ONLINE














