SEPANJANG 2025, jejaka tinggi lampai Zarif Ghazzi berjaya menonjolkan kualiti lakonan setara pelakon senior terutama menerusi drama fenomena Seribu Tahun.
Penjiwaan cemerlang dalam naskhah tersebut melonjakkan nama Zarif sekali gus menyaksikan jadual pelakon berusia 23 tahun itu untuk tahun 2026 hampir padat dengan projek filem serta deretan drama berskala besar.
Potensi pemilik nama penuh Zarif Farahi Effie Ghazzi itu bukan sahaja menjadikannya antara pelakon paling diburu rumah produksi dan stesen televisyen, malah dia kini dianggap sebagai pelapis ‘Hero Malaya’.
Mengulas perhatian luar biasa yang diterimanya, Zarif meluahkan rasa syukur apabila kerja keras menempatkan diri dalam industri seni tanah air mula membuahkan hasil.
“Alhamdulillah, orang mula nampak bakat dan usaha saya selama dua, tiga tahun ini.
“Saya hargai setiap kata-kata mereka, lagipun apa yang keluar dari mulut itu kan satu doa.
“Insya-Allah, saya akan jadi ‘the next’ Beto Kusyairy atau mencipta kejayaan tersendiri sebagai pelakon legenda,” katanya kepada HibGlam.
Risau jangkaan
Meskipun dihujani pujian, pelakon drama Khunsa itu mengakui terselit rasa bimbang sekiranya gagal memenuhi jangkaan tinggi peminat serta penggiat seni terhadap kualiti lakonannya.
“Saya memang takut sebab bagi saya pujian dan jangkaan satu tanggungjawab yang perlu digalas sampai bila-bila.
“Bila orang dah meletakkan satu jangkaan contohnya ‘budak ini cara lakonannya lima bintang’ jadi setiap projek yang masuk kena buat yang terbaik.
“Bagi saya memang risau apabila adanya tekanan tapi tapi apa sekalipun ini cara saya cari rezeki halal, jadi kena buatlah,” jelasnya.
Enggan membiarkan populariti mengaburi mata, anak kelahiran Johor itu menyifatkan kembara seninya masih terlalu hijau dan jauh lagi perjalanan untuk berada di fasa selesa.
“Saya masih bertatih dalam industri, jauh lagi sebenarnya perjalanan ini.
“Tempoh tiga tahun belum matang lagi, saya masih dianggap ‘bayi’ lagi.
“Justeru, saya mengharapkan doa dan sokongan daripada semua agar perjalanan ini dipermudahkan,” tuturnya menutup bicara.














