JIKA selalunya kediaman keluarga besar Emma Maembong diserikan dengan tema warna pakaian sedondon setiap kali Aidilfitri, kali ini terdapat perubahan atas permintaan khusus bapanya, Ismail Maembong.
Tahun ini, tradisi keluarga Maembong berubah wajah apabila bapa tercinta menitipkan pesanan agar keluarga mereka tidak lagi meraikan Aidilfitri secara berlebihan.
Hal tersebut sebagai tanda hormat dan solidariti terhadap konflik peperangan yang berlaku antara Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.
“Tahun ini, tiba-tiba ayah saya cakap dia tak nak sedondon. Kami setiap tahun memang sama.
“Dia suruh ikut masing-masing. Saya pun tanyalah kenapa, dia cakap kita tengah perang, tak payahlah nak raikan sangat.
“Orang lama kan, jadi kita hormat saja. Kita ikut sahaja cakap orang tua,” katanya membuka bicara.
Menyentuh mengenai rutin pagi raya, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail menjelaskan bahawa seluruh ahli keluarganya akan memastikan mereka berkumpul terlebih dahulu bagi mengelakkan suasana sunyi di kediaman bapanya.
“Kami setiap kali raya hari pertama sahaja berkumpul sebab ayah ada ramai anak perempuan sebab biasanya perempuan sibuk ikut suami masing-masing.
“Jadi dalam rumah akan sunyi sepi. Sekarang mereka dah buat aturan yang sebelum balik ke rumah mentua mesti berkumpul dahulu.
“Tak kisah sama ada malam raya atau pagi raya memang adik-beradik semua akan berkumpul. Kemudian baru beraya,” jelasnya lagi.

Sudah menjadi kebiasaan buat pelakon berusia 33 tahun itu untuk menaja pakaian raya buat seluruh ahli keluarga termasuk abang iparnya, Cat Farish tanpa memikirkan jumlah kos yang dihabiskan.
“Kebiasaannya memang saya akan sediakan baju untuk semua sebab saya suka ramai-ramai.
“Mereka pula jenis yang ikut sahaja. Tak tahulah (kos) saya tak pernah jumlahkan. Contohnya saya beli baju pasang dalam 20 helai, tengoklah bergantung berapa ratus.
“Kadang-kadang kakak saya hulurkan duit untuk beli. Tapi kebiasaannya saya dah terbiasa.
“Saya terbiasa beli pakej terus untuk semua orang. Kadang-kadang ada yang bayar balik, malah abang Cat Farish pun dah tahu saya begitu bila dia mula sertai keluarga kami,” dedahnya.
Dalam masa sama, dia tidak rasa terbeban apabila perlu mengeluarkan duit dari poket sendiri buat keluarga kerana mahu memotretkan kenangan bersama.
“Tapi bagi saya macam duit boleh cari, kenangan dengan keluarga itu semua tak boleh dicari.
“Walaupun kadang-kadang kita fikir tak cukup duit tahun ini, saya rasa momen macam itu hanya setahun sekali dan setiap gambar kita tengok, keluarga kita makin membesar.
“Bukanlah orang kata kaya banyak duit, tapi insya-Allah boleh usaha dan cari. Momen nak kumpul sama itu susah,” ujarnya.
Beraya rumah mentua
Meskipun sudah tidak lagi bersama bekas suami, Muhammad Shazli Azhar, pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu tetap mementingkan hubungan baik dengan lelaki itu demi memastikan anak-anak tidak berasa kehilangan kasih sayang.
“Saya dengan bekas suami walaupun kami dah tak bersama tapi setiap kali raya pergi beraya rumah dia.
“Tetap akan pergi salam keluarga dia semua sebab itu kan ayah kepada anak-anak saya. Saya tak nak mereka rasa perbezaan.
“Itu memori anak saya nak membesar. Saya tak nak ada satu benda pun yang berubah walaupun mak ayahnya tak bersama lagi.
“Kadang orang macam keliru saya asyik ambil gambar raya bersama. Tak ada masalah pun, biar tangkap sekali untuk anak-anak membesar ada gambar keluarga yang lengkap,” tuturnya.
Selain beraya bersama, Emma juga mengakui menggayakan baju raya warna seragam dengan bekas suami supaya anak-anak tidak rasa kehilangan.
“Dengan bekas suami memang akan sedondon sebab itu ramai pertikai kenapa cerai. Itu untuk anak saya, satu Malaysia tahu macam mana saya baik dengan bekas suami.
“Saya nak anak saya nampak mak ayah mereka memang okey, tiada masalah. Peribadi mak bapa itu letak belakang, anak-anak ke depan.
“Mereka membesar sekurang-kurangnya setiap tahun ada gambar keluarga. Itu yang penting,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, perkara tersebut diteruskan kerana dia tidak berpeluang memiliki potret satu keluarga memandangkan ibu bapa sudah lama berpisah.
“Saya membesar dengan keluarga berpecah-belah, jadi saya faham macam mana pagi pergi rumah mama, petang atau esoknya ke rumah ayah.
“Bagi saya untuk membesar dengan cara itu tak berapa okey. Kadang-kadang saya berangan bila nak ada gambar mama dan ayah sekali.
“Saya pun dah 32 tahun, ayah dan mama pun makin tua jadi benda itu takkan pernah berlaku,” jelasnya.
Daripada terpaksa menahan rindu melihat potret keluarga yang utuh, Emma menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencantumkan memori yang tidak pernah wujud.
“Sekarang kan ada AI, saya upah orang untuk buat gambar satu keluarga dan bingkaikan sebab saya membesar tiada gambar lengkap.
“Dulu saya sanggup belajar melukis semata-mata nak lukis gambar mama, ayah dan kami adik-beradik.
“Sekarang dah boleh tempah siap satu bingkai besar di rumah walaupun benda itu tak pernah wujud,” tutupnya. – KOSMO! ONLINE














