MELAKA – Keterujaan kira-kira 50 keluarga di sekitar Bukit Rambai dekat sini melakukan persiapan Aidilfitri bertukar duka apabila kediaman mereka rosak akibat dipukul ribut dalam kejadian lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, antara kawasan terjejas ialah Kampung Gedong Lalang, Seberang Gajah, Taman Bukit Rambai serta Rumah Awam Fatimah dengan kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, selain dihempap pokok tumbang.
Seorang mangsa, Ruzaimah Leman, 55, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas ketika dia sedang sibuk menyusun kuih raya.
“Masa itu saya tengah masukkan biskut dalam balang dan tiba-tiba datang angin kencang yang membuatkan semua barang dalam rumah berselerakan dan pecah.
“Saya terus capai cucu dan peluk mereka, ketika itu memang sudah tak nampak apa-apa kerana barang-barang yang ringan semua berterbangan,”katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan atap rumahnya tercabut, bekalan elektrik terputus serta air hujan masuk hingga merosakkan barangan rumah.
Katanya, meskipun sedih apatah lagi bencana itu berlaku dalam tempoh hanya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, namun dia tetap bersyukur kerana ahli keluarganya selamat.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Asri Mahmood, 29, berkata, dia masih ingat bunyi kuat ribut tersebut sebelum bumbung rumahnya terangkat dalam beberapa saat.
“Pada mulanya hujan biasa, kemudian tiba-tiba bunyi kuat seperti puting beliung dan dalam beberapa saat bumbung rumah terangkat.
“Saya terus keluar tengok ibu dan Alhamdulillah dia selamat, walaupun air sudah masuk ke ruang tamu dan bilik,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, beberapa agensi termasuk bomba, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pejabat Daerah telah digerakkan bagi membantu kerja pembersihan dan pemulihan selain mengatur bantuan kepada mangsa terjejas. – KOSMO! ONLINE














