PETALING JAYA – Pensyarah bahasa Melayu dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencadangkan penganjuran ‘Hari Bahasa Melayu di Uzbekistan’ bagi memperluas lagi pengaruh bahasa itu di peringkat antarabangsa.
Sejak 2018, UPSI menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) giat memajukan pengajian Bahasa Melayu di Taskent State University of Oriental Studies (TSUOS), Uzbekistan secara sistematik melalui kolaborasi strategik serta pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi.
Dekan FBK UPSI, Prof Madya Dr Maizura @ Mastura Muhammad berkata, terkini pihaknya menghantar Prof Madya Dr Anida Sarudin ke TSUOS bagi mengikuti Latihan Sangkutan Akademik selama tiga bulan.
Menurutnya, pihak fakulti menyokong penuh program berkenaan serta merakamkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi TSUOS atas sokongan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di luar negara.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kerjasama tersebut melibatkan penghantaran tenaga pengajar Bahasa Melayu selain pembangunan pelajar serta pemantapan guru menerusi program mobiliti pelajar dan pensyarah.
Katanya, UPSI sentiasa merancang program berimpak sebagai komitmen berterusan dalam memperkukuh pengantarabangsaan bahasa dan budaya Melayu di TSUOS khususnya serta Asia Tengah amnya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Bahasa Asing TSUOS, Dr Nasiba Abduganiyeva memaklumkan universiti berkenaan kini mempunyai 224 pelajar yang mengikuti Program Bahasa Asing (Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama), dibimbing oleh lima tenaga pengajar.
Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan Bahasa Melayu semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa termasuk di Uzbekistan.
Tambahnya, TSUOS turut menjadikan UPSI sebagai pakar rujuk dalam pembangunan kurikulum serta pemantapan bidang bahasa Melayu.
Dr Anida Sarudin pula mencadangkan agar program berimpak tinggi dilaksanakan secara lebih meluas melalui kerjasama strategik antara UPSI, TSUOS dan Kedutaan Malaysia di Uzbekistan, termasuk penganjuran ‘Hari Bahasa Melayu di Uzbekistan’. – KOSMO! ONLINE














