fbpx
NORINDA (kanan) menunjukkan salah satu baju kurung kegemaran arwah anaknya, Nur Dalila Farhana (Gambar kecil) ketika ditemui di Kampung Baru Tok Dor, Besut semalam.

‘Dia tiada Syawal pun hambar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESUT – Bulan Ramadan ini janggal buat keluarga Norinda Kasim ekoran pertama kali menyambutnya tanpa anak sulung, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma yang terkorban bersama 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas ngeri di Gerik, Perak sembilan bulan lalu.

Norinda, 50, berkata, kehila­ngan Nur Dalila Farhana amat dirasai sehingga dia dan suami, Mohamad Isma Abdul Manaf, 48, merasakan ketibaan Ramadan dan Syawal kali ini kurang berseri.

“Sepanjang 21 tahun dia hidup, arwah tidak pernah ketinggalan berpuasa bersama keluarga. “Sewaktu sekolah menengah, arwah sanggup tidak mahu ma­suk asrama agar dekat dengan keluarga, malah pada bulan Ra­madan tahun lalu, dia yang sedang bercuti semester tetap berpuasa sebulan di rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Tok Dor di sini semalam.

Nur Dalila Farhana yang me­rupakan pelajar Semester Dua Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak antara 15 pelajar UPSI yang maut dalam nahas melibatkan bas persiaran di Jalan Timur-Barat pada 9 Jun lalu.

Sewaktu kejadian, dia bersama rakan dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

Norinda berkata, Nur Dalila Farhana merupakan anak yang ringan tulang yang gemar membantunya memasak di dapur.

Katanya, anak sulungnya itu juga gemar membuat kuih-muih yang kebiasaannya menjadi hidangan moreh mereka sekeluarga selepas menunaikan solat sunat tarawih.

“Dia (Nur Dalila Farhana) ke­rap membantu saya memasak di dapur. Masa awal pemergiannya dulu, hampir dua bulan saya tidak boleh masuk ke dapur untuk memasak.

“Waktu itu, kenangan bersamanya termasuk bayangannya membantu saya memasak kerap mengganggu fikiran,” katanya.

Norinda berkata, bagi melepaskan kerinduan, dia sering menatap dan mencium baju-baju kurung tinggalan arwah Nur Dalila Farhana.

Menurutnya, kadang-kala baju kurung itu menjadi peneman tidur buatnya pada waktu malam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN