fbpx
ILHAM (berdiri) juga pernah memegang beberapa jawatan di UniSZA seperti Exco Kerohanian dan Kebudayaan Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA.

Dakwah kreatif Ilham dekati generasi muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM era digital yang semakin berkembang pesat, media sosial bukan sekadar ruang hiburan semata-mata, malah mampu menjadi medium dakwah yang efektif.

Bagi Muhammad Ilham Fahmi Mohd. Azhar, 23, pelajar Ijazah Sarjana Muda Usuluddin di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), platform digital dimanfaatkan sepenuhnya sebagai wadah untuk menyebarkan nilai-nilai Islam kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Dia yang mesra disapa Ilham dan mendapat pendidikan awal di sekolah agama sejak kecil mula aktif menghasilkan kandungan Islamik di media sosial bermula 2019 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Ketika kebanyakan masa dihabiskan di rumah, dia mula melihat peluang untuk berkongsi mesej dakwah melalui video pendek yang memujuk hati serta mengingatkan manusia agar kembali kepada Allah.

Menurut Ilham, inspirasi untuk menghasilkan kandungan tersebut datang daripada beberapa tokoh pendakwah dan pempengaruh media sosial seperti Naufal Isa, Iddin Ramli, Muallim Muda dan Tarbiah Sentap.

“Melihat keberkesanan penyampaian mereka dalam mendekati masyarakat telah memberi dorongan kepada saya untuk turut menyumbang dalam ruang dakwah digital.

“Kandungan yang saya hasilkan banyak berkisar tentang ilmu tasawuf, pengurusan emosi dan jiwa serta mesej yang memberi ketenangan kepada hati dalam menghadapi ujian kehidupan,” katanya kepada K-Kampus.

Selain itu, anak jati Selangor ini juga aktif berkongsi aktiviti ibadah sosial seperti program sukarelawan membantu golongan memerlukan termasuk ibu tunggal, anak yatim, warga emas, fakir miskin dan gelandangan.

Sepanjang berada di kampus, Ilham turut aktif dalam kepimpinan pelajar dan aktiviti dakwah.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai Lajnah Dakwah dan Kerohanian Persatuan Mahasiswa Kontemporari Islam UniSZA bagi sesi 2023-2024, seterusnya dilantik sebagai Exco Kerohanian dan

Kebudayaan Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA Sesi 2024-2025.

Bermula 2026, anak kedua daripada lima beradik ini turut terlibat aktif sebagai sukarelawan di Pusat Pendidikan Komuniti Chow Kit, Kuala Lumpur.

Melalui penglibatan tersebut, Ilham sering dijemput menyertai program perkongsian ilmu dan forum bersama pempengaruh lain dari dalam dan luar kampus.

ILHAM (kanan) juga sering dijemput menyertai program perkongsian ilmu bersama pendakwah dan pempengaruh media sosial.

Tidak sekadar itu, dia juga pernah memainkan peranan sebagai pengacara majlis, moderator serta ahli panel dalam beberapa program anjuran universiti.

Menurutnya, media sosial mampu menjadi medium dakwah yang berkesan sekiranya penyampaian dibuat secara kreatif, ringkas dan dekat dengan realiti semasa.

“Pendekatan seperti lakonan, penceritaan santai atau adaptasi trend semasa boleh membantu mesej dakwah lebih mudah difahami dan diterima oleh golongan muda,” katanya.

Akuinya, dia turut berdepan cabaran terbesar sebagai content creator (pencipta kandungan) terutama dari segi pengurusan masa dan komitmen antara pengajian, aktiviti kampus serta keperluan menghasilkan kandungan secara konsisten.

Namun, segala cabaran itu dianggap berbaloi apabila menerima maklum balas positif daripada pengikut.

“Antara yang paling memberi kesan apabila kandungan yang dihasilkan mendapat respons seperti perkongsian semula (repost), simpanan (saved) serta kata-kata sokongan yang mendoakan kebaikan.

“Bagi saya, kepuasan terbesar dalam menghasilkan kandungan dakwah apabila mesej yang disampaikan mampu menyentuh hati seseorang dan menjadi titik perubahan dalam hidup mereka,” katanya.

Tambahnya, kandungan yang membawa nilai tauhid, akhlak serta penghayatan ajaran Rasulullah diharapkan dapat mengingatkan manusia agar kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah.

Dalam mengimbangi kehidupan sebagai pelajar dan pencipta kandungan, Ilham tidak menetapkan jadual khusus untuk menghasilkan kandungan tersebut.

Sebaliknya, dia memanfaatkan masa lapang sebaik mungkin di samping memberi fokus kepada pengajian, menghadiri daurah ilmu, talaqqi kitab serta aktiviti kemasyarakatan.

Mengakhiri perkongsian, Ilham menyeru para pelajar agar memanfaatkan teknologi dan media sosial untuk terus menyebarkan perkara yang baik.

Baginya, dakwah boleh diinspirasikan daripada teladan para nabi seperti Nabi Ibrahim yang menekankan tauhid, Nabi Muhammad yang mempamerkan akhlak dan kasih sayang sesama manusia serta Nabi Sulaiman yang melambangkan kepimpinan berasaskan ilmu dan kebijaksanaan.

“Jika teknologi dimanfaatkan untuk menyebarkan nilai Islam yang indah dan menyatukan masyarakat, media sosial mampu menjadi medium besar dalam membina peradaban ummah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN