fbpx
Mohamad (tengah) bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Putrajaya hari ini.

Bekalan makanan cukup, rakyat diminta bertenang sambut Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rakyat dinasihatkan supaya tidak panik berhubung bekalan makanan negara meskipun berlaku ketegangan geopolitik di Asia Barat menjelang sambutan Aidilfitri.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan makanan asas seperti beras, ayam, telur, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei atau Jun tahun ini.

Menurut beliau, orang ramai boleh menyambut Hari Raya dengan tenang sambil mengamalkan konsep berjimat cermat seperti yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Buat masa ini jangan kita bimbang apa-apa. Bekalan beras, daging ayam, telur, ikan, daging lembu, kerbau, susu segar, sayur-sayuran dan buah-buahan semuanya mencukupi sekurang-kurangnya hingga Mei atau Jun akan datang.

“Oleh itu rakyat tidak perlu panik,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata pelaksanaan Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah akan terus dipertingkatkan bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga lebih berpatutan.

Katanya, kementerian juga akan mempergiat inisiatif Komuniti Madani yang kini melibatkan kira-kira 5,000 lokasi bagi meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dan ikan untuk pasaran tempatan.

“Kalau perlu kita akan tambah lagi supaya bekalan makanan dalam masyarakat terus meningkat,” ujarnya.

Mengulas isu ketegangan di Asia Barat, Mohamad menjelaskan kebanyakan import makanan Malaysia tidak melalui Selat Hormuz, sebaliknya diperoleh dari negara seperti India, Pakistan, Brazil, Argentina, New Zealand, Australia serta negara ASEAN.

Bagaimanapun katanya, sekiranya konflik tersebut berpanjangan, ia mungkin memberi kesan kepada kos pengangkutan yang berpotensi mempengaruhi harga makanan.

“Jika berlaku perubahan harga, kita akan mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI