KOTA BHARU – Anak-anak kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani, 81, yang meninggal dunia akibat serangan jantung semalam mahu menunai hasrat arwah untuk menyiapkan sebuah pusat tahfiz yang ketika ini dalam fasa tergendala.
Allahyarham yang juga bekas Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) itu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 malam di rumahnya di Pulau Hilir, Kubang Kerian.
Anak ke-12 arwah, Hafizullah, 29, berkata, dia dan adik beradik lain akan menyiapkan pusat tahfiz milik arwah yang ketika ini baru siap sebanyak 50 peratus.
Menurutnya, pusat tahfiz yang diberi nama Gerak Wira itu di bina sejak enam tahun lalu di atas tanah seluas kira-kira satu hektar dan kini tergendala selepas terdapat beberapa kekangan terutamanya aspek kewangan.
“Sebelum meninggal dunia, arwah mengadu sesak nafas semasa berucap pada Program Ukhwah Madani PVATM di Dewan Dato’ Ghani, Kubang Kerian semalam. Allahyarham bapa sempat menyampaikan ucapan selama beberapa minit pada majlis tersebut petang semalam sebelum mengadu sesak nafas,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kubang Kerian di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 2.30 petang ini.
“Arwah sebelum ini menghidap penyakit jantung pada 2021 dan pernah mendapatkan rawatan beberapa kali dan pembedahan. Arwah juga mengalami masalah kesihatan apabila pernah rebah di rumahnya di Gombak, Selangor sebelum pulang ke Kelantan.
“Arwah meninggalkan tiga orang isteri dan 13 anak. Kali terakhir saya berjumpa dengannya ketika arwah datang ke pejabat saya di Padang Tembak, Pengkalan Chepa dan kami sempat berbual tentang keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE














