JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak terlalu yakin menjelang aksi timbal balik pusingan 16 Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Sanfrecce Hiroshima, petang ini.
Munoz berkata, kemenangan 3-1 pada perlawanan pertama bukan jaminan buat skuad Harimau Selatan untuk melangkah ke suku akhir apabila menjangkakan kebangkitan kelab Jepun itu di laman sendiri.
“Kita tidak boleh turun dengan rasa takut, tetapi dalam masa sama tidak boleh terlalu yakin. Perlawanan ini memerlukan disiplin dan mentaliti yang kuat sepanjang 90 minit.
“Pemain perlu mengawal permainan dengan matang serta mengekalkan identiti permainan yang sudah dirancang,” katanya.
Tambah Munoz, setiap aspek permainan perlu dilaksanakan dengan sempurna termasuk kawalan bola, mencipta peluang serta memanfaatkan ruang yang ada untuk menjaringkan gol.
Beliau turut menegaskan kepentingan taktikal seperti situasi bola mati, lontaran ke dalam dan transisi permainan yang boleh menjadi penentu dalam perlawanan getir itu.
“Semua perkara kecil dalam permainan boleh menjadi faktor penting. Sebab itu pemain perlu kekal fokus dan berdisiplin sepanjang perlawanan,” ujarnya.
Pada aksi pertama minggu lalu, JDT memperoleh kelebihan selesa apabila Ager Aketxe, Bergson Da Silva dan Marcos Guilherme masing-masing menyumbang satu gol untuk kemenangan 3-1.
Bagaimanapun, Munoz mengakui kelebihan tersebut masih belum cukup selesa memandangkan apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.
Justeru, beliau mahu barisan pemain mengekalkan pendekatan agresif seperti ketika beraksi di laman sendiri dengan sasaran untuk memburu kemenangan sekali lagi.
“Pemain perlu bijak mencari keseimbangan antara menyerang dan bertahan. Itu kunci utama untuk memastikan JDT mampu melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya.














