KUALA LUMPUR – CIMB Bank Berhad (CIMB) sekali lagi menganjurkan CIMB OCTOFest sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri di MyTown Shopping Centre.
Bertemakan ‘Semua Lebih Hebat dengan CIMB’, festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 Mac itu menggabungkan elemen perdagangan, komuniti dan budaya dalam satu platform meriah.
Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman berkata, festival yang dianjurkan dengan kerjasama KL Foodie itu bukan sahaja menawarkan pengalaman bermakna kepada pengunjung, malah memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ia melalui galakan penggunaan pembayaran digital serta pelbagai ganjaran istimewa sempena musim perayaan.
“Melalui CIMB OCTOFest, matlamat kami mudah iaitu menyatukan orang ramai, berkongsi keberkatan dan meraikan semangat musim perayaan dalam satu tempat.
“Itulah sebabnya tema kami tahun ini, ‘Semua Lebih Hebat dengan CIMB’, menonjolkan bagaimana setiap detik menjadi lebih bermakna apabila kita meraikanya bersama.
“Ada kalanya tradisi dipinggirkan dan dianggap menyusahkan, tetapi CIMB terus mempertahankan tradisi yang sinonim dengan komuniti kita, sekali gus menjadikan sambutan Ramadan dan raya lebih bermakna,”katanya ketika ditemui pada festival berkenaan Sabtu lalu.
Tambah beliau, menerusi semangat Kita Bagi Jadi, CIMB berharap tradisi itu terus berkembang serta kekal relevan dan mudah diakses.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu festival kali ini merupakan yang ketiga selepas Pasar Seni dan Bukit Bintang dan pada masa sama CIMB turut menyokong bazar Ramadan di Taman Tun Dr. Ismail dan Bangsar.
Festival itu menampilkan lebih 50 usahawan dan vendor tempatan yang menawarkan kelengkapan Aidilfitri termasuk kuih, pakaian serta aneka juadah berbuka puasa.
Selain itu katanya, pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan pentas turut diadakan bagi mendekati komuniti setempat dalam suasana penuh kemeriahan.
“Di festival ini, pengunjung berpeluang menikmati juadah perayaan, meneroka jenama tempatan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura menerusi ‘Rumah ASEAN’.
“Turut disediakan bengkel batik ikat celup dan seni pasir di ‘Rumah Riang CIMB’ serta menyaksikan persembahan artis popular Bella Astillah bersama bintang Rising Start CIMB, Scha Nuril dan Firdaus,”katanya.
Toni menambah, pelbagai aktiviti menarik lain turut disediakan termasuk Big Congkak Challenge, gelanggang batu Seremban gergasi, Teng-Teng, karaoke raya, pemberian duit raya, pertunjukan khas teh tarik, agihan bubur lambuk dan CIMB Hadiah Raya Challenge.
Rakan jenama CIMB seperti pemain golf profesional Ervin Chang dan atlet permotoran Amer Harris Jefry serta pempengaruh media sosial Pinn Yang dan Mad Noor turut memeriahkan acara.
Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan jumlah pengunjung yang memeriahkan festival itu, Toni berkata, kira-kira 60,000 pengunjung telah menyertai festival yang berakhir pada 8 Mac lalu.
Kata beliau, kehadiran tersebut menunjukkan sokongan pengunjung terhadap CIMB OCTOFest untuk berbelanja di festival itu. -KOSMO! ONLINE














